ULASAN SUKAN | Kem badminton Korea Selatan mengganas dalam Jelajah Dunia BWF sepanjang musim ini.
Jalan ceritanya lebih terarah kepada ratu perseorangan wanita, An Se Young, dan pasangan beregu lelaki tersohor, Seo Seung Jae dan Kim Won Ho yang terus membuat lawan lain makin cemburu.
Kebetulan, tiga pemain terbabit berada dalam ranking nombor satu dunia dan status itu dibuktikan selepas masing-masing gah merakamkan gelaran kesembilan mereka sepanjang musim ini, termasuk mengungguli Terbuka Perancis baru-baru ini.
Memang satu rekod yang harus mendapat tabik hormat.
Prestasi menakjubkan itu memberi gambaran betapa jagoan tersbeut adalah pilihan terhangat untuk menjuarai kejohanan penamat musim, iaitu Final Jelajah Dunia BWF-HSBC di Hangzhou, China pada 17 hingga 21 Dis ini.
Senarionya berlawanan pula dengan pemain Malaysia. Sepanjang Nov lalu kita agak sepi daripada sebarang khabar gembira hasil kunjungan skuad negara ke Eropah bagi Siri Super.
Kecuali kejayaan Pearly Tan dan M Thinaah menjuarai acara beregu wanita di Terbuka Arctic, cabaran disajikan oleh pemain elit lain sekadar ‘aksi suam-suam kuku’ saja.
Pada dua Siri Super yang berikutnya, kemaraan terbaik kita hanya setakat separuh akhir.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly-Thinaah berjaya mara ke kelompok empat terakhir di Terbuka Perancis manakala juara baru beregu campuran di Kejohanan Dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga melangkah ke peringkat sama di Terbuka Denmark.
Satu lagi saingan berbaki di Eropah adalah Terbuka Hylo yang bermula di Jerman, hari ini.
Berhak marah, tapi…
Adalah lebih baik, pemain elit negara memusatkan tumpuan kepada cabaran bagi kejohanan penamat musim di Hangzhou. Mereka perlu hadir dengan minda dan fizikal lebih segar sambil lupakan saja pencapaian di Eropah.
Peluang kita untuk memburu kemasyhuran di China nanti tetap cerah dan hakikat itu hanya terarah kepada cabaran dalam acara beregu lelaki, wanita dan campuran.
Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei selaku juara baru dunia adalah prospek utama kita.
Selain itu, pasangan beregu lelaki nombor empat dunia, Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (nombor 5 dunia) juga diyakini mampu menyinar di bumi China nanti.

Pun begitu kita kurang mengerti tindakan segelintir individu yang baru-baru ini melontarkan komen atau mesej berbaur penghinaan serta ugutan ke atas pemain negara di media sosial.
Walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menamakan sebarang pemain, laporan media memberi gambaran bahawa yang menjadi mangsa termasuk Aaron-Wooi Yik.
Ia berlaklu gara-gara kekalahan pasangan nombor dua dunia itu kepada lawan dari Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis.
Sebagai peminat anda berhak untuk marah tetapi tidak perlu menggunakan kata-kata kesat berbentuk ugutan.
Pemain negara sudah memberikan yang terbaik sejak beraksi dalam kejohanan Siri Super dan kejohanan utama lain sejak Jan lalu.
BAM dalam kenyataan menyebut tidak ada ruang untuk melontarkan sifat kebencian, ugutan atau diskriminasi dalam badminton atau dalam masyarakat kerana keselamatan dan kesejahteraan pemain adalah keutamaan mereka.
Inilah masanya kita bersama menyokong pemain negara dan menyemarakkan semangat mereka. Kalah menang akan sentiasa berlaku dalam badminton.
Kita harus membantu pemain elit negara dengan motivasi yang tidak putus-putus. Sokongan padu boleh memberi inspirasi kepada mereka bangkit pantas memadamkan setiap detik kekecewaan.
Lebih dihargai jika kita tidak membandingkan pemain negara dengan ‘orang besi’ dari Korea Selatan, iaitu Se Young dan Seung Jae-Won Ho, umpamanya.
Yang penting kita sentiasa bergerak secara konsisten dengan kekuatan dan strategi sendiri.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






