Malaysia Oversight

JPJ akan sekat pemilik, pemandu luar tak bayar saman VEP

By MkiniBM in November 1, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bermula 15 Nov ini, pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata tindakan penguatkuasaan sepenuhnya itu melibatkan kenderaan persendirian individu serta kenderaan persendirian milik syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh, atau masih berstatus pradaftar.

“Tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia.

“Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar sempadan Malaysia-Singapura,” katanya.

Aedy Fadly berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru malam tadi.

Bayaran saman boleh dibuat di kaunter pejabat JPJ, kaunter bergerak JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay dan secara dalam talian (myEG).

Aedy Fadly berkata sebelum ini, penguatkuasaan yang dilaksanakan menyaksikan pemandu atau pemilik kenderaan asing hanya dikenakan notis saman dan notis peringatan, namun kini sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan penuh dijalankan.

“Sebelum ini, JPJ hanya adakan operasi di sekitar Johor, tetapi kini kami luaskan ke seluruh negara.

“Mana-mana kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP dan ditahan di mana-mana lokasi di Malaysia, akan dikenakan tindakan,” katanya.

Menurut Aedy Fadly sejak penguatkuasaan VEP 1 Julai lalu, sebanyak 303,183 tag RFID dipasang bagi kenderaan persendirian individu, manakala 31,643 lagi melibatkan kenderaan milik syarikat.

Dalam tempoh sama, JPJ telah memeriksa 55,486 kenderaan dan mengeluarkan 4,028 kompaun terhadap pemilik kenderaan yang tidak mempunyai VEP, dengan jumlah kompaun mencecah RM1.2 juta.

Bernama



Source link