Malaysia Oversight

Lelaki maut ditetak adik ipar dalam bendang

By MkiniBM in November 1, 2025 – Reading time 1 minute
Lelaki maut ditetak adik ipar dalam bendang


Seorang lelaki dipercayai ditetak hingga kepalanya terpisah dari badan pada bahagian leher dalam kejadian di Kampung Pida 3, dekat Jerlun semalam.

Dalam kejadian lewat petang itu, mangsa yang berusia 45 tahun ditempat kejadian dipercayai ditetak oleh adik iparnya sendiri yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki itu daripada orang awam pada jam 7.05 malam.

“Apabila tiba di tempat kejadian, polis menahan suspek di rumahnya dan merampas sebilah parang berukuran 30 sentimeter. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, ditemukan satu mayat dalam keadaan terlentang di dalam kawasan sawah padi.

“Sebelum ditahan, suspek yang pada ketika itu masih memegang parang cuba menyerang polis tetapi selepas dipujuk selama 15 minit, dia akhirnya menyerah diri,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Mohd Radzi berkata, selain putus leher, mangsa yang juga seorang petani itu turut mengalami kesan kecederaan tetakan pada bahagian lain badannya.

Dia berkata jarak rumah suspek dengan tempat kejadian ialah kira-kira 30 meter, sementara rumah mangsa terletak di belakang rumah berkenaan.

“Mangsa dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok (hari ini),” katanya.

Bernama



Source link