Sebutlah nama Ruji Ubi berulang kali, kebanyakannya akan memberikan reaksi dengan wajah terpinga-pinga.
Agak sukar bagi sesiapa mengenali Ruji Ubi di Merotai melainkan hanya segelintir orang, itu pun mendengarnya sepintas lalu.
Bekas pegawai kanan kerajaan persekutuan itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai “muka baru” dari PKR yang akan bertanding di kerusi yang sebelum ini tidak pernah ditandingi parti tersebut.
Ini menyebabkan penduduk berpendapat ia mungkin bakal menjadi cabaran kepada parti berkenaan.
Ruji muncul buat pertama kali di pentas politik apabila Anwar memperkenalkannya dalam satu himpunan Reformasi di Tawau, Sept lalu.

Dia bersara awal dari perkhidmatan awam pada 21 Jun tahun ini pada usia 55 tahun.
Merotai terletak kira-kira 30km atau 40 minit perjalanan dari Tawau dan merupakan kawasan yang dikelilingi ladang luas. Secara tradisi penduduknya terdiri daripada petani dan nelayan, namun kini ramai anak muda bekerja di bandar Tawau atau bekerja sebagai kakitangan kerajaan di kawasan berhampiran.
Di sini, reputasi ahli politik bergantung kepada sejauh mana mereka turun padang dan bukan sekadar populariti.
“Saya tak berapa kenal Ruji, jadi susah nak komen,” kata Alexius Libin, 18, pengundi muda dari Kampung Iban.
“Mungkin dia ada program melalui agensi kerajaan, tapi jarang kami dengar,” kata bapa muda kepada bayi berusia 18 bulan itu.

Alexius teringat satu program pemberian bantuan makanan dan cabutan bertuah yang ada dihadiri Ruji.
“Lepas tu… tak ada apa sangat,” katanya.
Nama lama masih berpengaruh
Ketika ditanya kepada penduduk – dua nama sering disebut iaitu Liew Yun Fah daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, dan penyandang kerusi dari Warisan, Sarifuddin Hatta.
Liew yang pernah menjadi wakil rakyat Merotai (2004–2008) sebelum berselisih dengan Umno, masih dikenang kerana pendekatan turun padangnya.
Dia juga merupakan presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, satu-satunya parti dari pantai timur dalam gabungan kerajaan GRS. Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal juga dari kawasan itu.
Namun kali ini, Liew mungkin tidak dapat bertanding kerana kerusi Merotai telah diserahkan kepada PKR menerusi persefahaman GRS-PH, yang sekali gus membuka laluan kepada Ruji.
Menurut individu yang rapat dengan Liew, dia kecewa dengan keputusan itu tetapi terpaksa akur demi perpaduan dalam GRS.

Bagi ramai di Merotai, Liew tetap sinonim dengan kerja-kerja akar umbi seperti membaiki jalan, memasang lampu solar, serta mengetuai projek komuniti dan kesihatan.
Penduduk berkata, kelebihan Liew ialah kemampuannya mendekati semua kaum dan agama. Merotai dihuni masyarakat Melayu, Cina, Bugis dan Iban, dengan kepelbagaian kaum menjadi kekuatan kawasan itu.
Malah ada yang mengatakan Liew fasih bahasa Tidung, salah satu bahasa tempatan Tawau.
Walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen “pilih orang kita”, Liew tetap hadir untuk semua acara. Dia menganjurkan sambutan Kaamatan dan Gawai, rumah terbuka Tahun Baru Cina, program sahur, majlis Hari Raya, ceramah agama dan karnival keusahawanan.
Acara-acara itu, kata penduduk, mengeratkan masyarakat dan merancakkan ekonomi dengan menarik pengunjung dari kawasan sekitar.
“Kalau Liew bertanding lagi, dia boleh menyukarkan Sarifuddin untuk menang,” kata Ramlah Salleh dari Kampung Langsat.
“Orang sini masih ingat jasa dia,” tambah Ramlah yang mengakui dirinya penyokong tegar Warisan.

Komuniti Iban di Merotai juga menghormati Liew.
“Di sini, hanya Tan Sri Liew yang selalu turun. Dia bantu gereja, lampu solar pun ada,” kata Maxcel Man, 26.
Rekod penyandang
Adun Warisan, Sarifuddin Hatta, turut diingati dalam memberi bantuan kepada penduduk, antaranya menggantikan bumbung bocor serta menurap jalan di Kampung Langsat dan Kampung Durian ketika Warisan memerintah (2018–2020). Ketika itu dia merupakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah.
Merotai mempunyai 26,179 pengundi berdaftar, kira-kira sepertiga daripada mereka berusia bawah 30 tahun, dan seorang daripada tujuh penduduk berusia lebih 60 tahun.
Warga tua lazimnya setia kepada tokoh-tokoh yang telah dikenali lama, manakala golongan muda banyak dipengaruhi media sosial dan tinggal di Tawau.

“Bumbung rumah bocor, Sarifuddin bagi zink. Tan Sri Liew bantu sekolah dan klinik.
“Tapi Ruji, saya tak pernah dengar. Orang PKR jarang datang sini. Kadang-kadang ambil gambar, lepas tu hilang,” kata Bahar Ambotang, 70.
Kehadiran Ruji setakat ini kebanyakannya menerusi program rasmi Jabatan Penerangan serta di bawah Kementerian Komunikasi.
Ini menimbulkan kritikan berhubung kehadirannya ketika kempen pilihan raya, memandangkan dia sudah bersara daripada perkhidmatan awam.
Tidak jelas mengapa dia masih menggunakan jabatan kerajaan untuk menjalankan aktivitinya.
Beberapa program turut menampilkan cabutan bertuah dan persembahan pentas, namun penduduk berkata usaha itu tidak dapat menaikkan namanya.
Penyokongnya pula menegaskan dia seorang teknokrat yang memiliki imej bersih dan berkaliber, serta berpotensi memimpin Sabah kelak.
Namun poster dan kain rentang sahaja tidak memadai selagi penduduk tidak bertemu batang tubuhnya sendiri.
Calon ketua menteri?
Nama Ruji kebelakangan ini juga disebut-sebut dari warung kopi ke aplikasi WhatsApp sebagai calon ketua menteri sekiranya PKR beraksi cemerlang dalam pilihan raya akan datang.

Ramai penduduk pernah mendengar khabar itu tetapi tidak menganggapnya sebagai serius.
“Ya, saya dengar kata Ruji mungkin ketua menteri seterusnya. Tapi saya rasa itu sekadar cakap-cakap, mungkin dari orang Kota Kinabalu nak naikkan dia,” kata Ardiansyah Hadi, 45, peniaga kecil dari Kampung Kuala Merotai.
Katanya, khabar itu tidak meyakinkan penduduk melainkan sekadar menimbulkan rasa ingin tahu.
“Di sini, orang tengok apa yang kamu buat, bukan gelaran kamu,” tambahnya.
Penduduk lain yang ditemuinya juga berkongsi pandangan sama iaitu berpendapat nama Ruji mula dikenali, tetapi ramai tidak tahu mengenai peranannya.

Hakikatnya, nama Ruji bukan kecil anak. Dia antara pegawai tertinggi kerajaan persekutuan dari Sabah dan pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.
Dia juga pernah mengetuai ESSCOM sebagai ketua pegawai eksekutifnya.
Pertembungan sengit
Kerusi Merotai dijangka menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Selain Ruji, calon lain termasuk PAS (di bawah PN), Parti Impian Sabah dan beberapa calon bebas.
Sabah akan mengadakan pilihan raya negeri ke-17 pada 29 November, dengan penamaan calon pada 15 November.






