Malaysia Oversight

Lelaki hilang ketika cari lembu ditemukan meninggal dunia

By Utusan in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Lelaki hilang ketika cari lembu ditemukan meninggal dunia


KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu di kawasan hutan berhampiran Kampung Paya Permai, Lubok Merbau di sini sejak Isnin lalu, ditemukan meninggal dunia petang tadi.

Mangsa, Zahari Zainuddin, 70, ditemukan pasukan penyelamat dalam kawasan semak pada pukul 3.48 petang.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, mayat lelaki itu dijumpai pada jarak kira-kira 900 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari keempat hari ini diteruskan di kawasan trek balak oleh semua agensi yang terlibat.

“Mangsa dijumpai dalam kawasan semak dan disahkan telah meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke PKB dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi yang diaktifkan sejak Selasa lalu itu digerakkan oleh sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan unit dron bomba.

“Operasi yang ditamatkan pada pukul 5.30 petang itu dibantu pasukan polis, penjara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan penduduk kampung,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas tidak pulang ke rumah selepas keluar berjalan kaki sekitar pukul 6 petang ke kawasan hutan berdekatan rumah untuk memberi makan lembu miliknya. – UTUSAN





Source link