Malaysia Oversight

Di hari lahir, sami dipenjara 15 tahun, 4 sebatan

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Di hari lahir, sami dipenjara 15 tahun, 4 sebatan


Seorang sami yang mendakwa dia mahu “mengubah nasib” seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat di Johor, selepas didapati bersalah merogol mangsa di sebuah ladang kelapa sawit empat tahun lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Pechimuthu Vethumalay, 53, yang kebetulan menyambut hari jadinya hari ini, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Harmi dipetik Harian Metro berkata pembelaan tertuduh hanyalah satu penafian semata-mata dan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought).

“Tiada sebarang bukti sokongan diberikan untuk membolehkan atau mengukuhkan pembelaannya seterusnya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

“Sehubungan itu, penafian kosong semata-mata bukanlah sesuatu boleh dimasukkan sebagai keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan dengan hukuman berkuat kuasa hari sabitan (hari ini),” katanya.

Mahkamah mendapati Pechimuthu bersalah atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa serta-merta.

Selain hukuman penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan memanggil empat saksi, termasuk tertuduh sendiri.

Mengikut pertuduhan, Pechimuthu merogol pelajar itu di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Yong Peng-Labis, Yong Peng, kira-kira jam 3 petang pada 28 Sept 2021.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad mengetuai pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, sami itu telah mendekati keluarga mangsa, mendakwa dia mendapat mimpi dan boleh membantu memperbaiki kehidupan mereka.

Dia kemudian membawa budak perempuan itu dengan alasan untuk melakukan upacara ritual, tetapi sebaliknya membawanya ke ladang kelapa sawit, dengan dia merogol mangsa.

Mangsa kemudian memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu, yang mendorong mereka membuat laporan polis.



Source link