Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop meraih tempat kedua bagi kategori jalan komuniti dalam Anugerah Projek Terbaik Mino sempena persidangan Persatuan Kejuruteraan Jalan Raya Asia dan Australasia (REAAA) di Korea Selatan.
Anugerah berprestij itu disampaikan pada majlis kemuncak persidangan yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 1 November 2025, bagi mengiktiraf projek infrastruktur jalan raya yang memberikan impak besar kepada komuniti dari segi teknikal, sosial dan ekonomi.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Presiden REAAA Sung-Hwan Kim.
“Ini bukan sekadar kemenangan sebuah projek, tetapi kemenangan seluruh warga kejuruteraan Malaysia. Ia mencerminkan keupayaan dan semangat kita membina infrastrukturyang bukan sahaja menghubungkan daerah, tetapi menyatukan kehidupan dan memajukan komuniti ,” katanya.

Jambatan Bagan Datuk menghubungkan dua daerah utama di negeri Perak — Hilir Perak dan Perak Tengah — yang sebelum ini dipisahkan oleh jarak lebih 67 kilometer dan mengambil masa perjalanan lebih satu jam.
Dengan pembinaannya, jarak tersebut dapat dikurangkan kepada hanya 10 kilometer, dengan tempoh perjalanan sekitar tujuh minit sahaja.
Dari segi kejuruteraan, ia menggunakan sistem jambatan integral dengan laluan bawah khas (box culvert) bagi memastikan penduduk sekitar dapat terus berhubung tanpa gangguan.
Ia turut dilengkapi lampu navigasi bagi menjamin keselamatan kapal dan bot yang melalui kawasan itu.
Selain itu, reka bentuk jambatan mengambil kira faktor tanah gambut serta alam sekitar pesisir, bagi memastikan kelestarian jangka panjang dan daya tahan struktur terhadap perubahan iklim dan keadaan tanah.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya berkata projek itu kini menjadi pemangkin utama jaringan hubungan komuniti, memperkukuh akses dan mobiliti antara dua daerah utama di Perak, serta meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
Ia juga menjadi model kejuruteraan seimbang yang menggabungkan kecekapan teknikal, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, jurutera profesional negara Dennis Ganendra daripada Minconsult Sdn Bhd diumumkan sebagai penerima Anugerah Hwang (Hwang Award) — pengiktirafan khas kepada individu yang banyak menyumbang kepada REAAA serta pembangunan kejuruteraan jalan raya di peringkat serantau.
Persidangan REAAA 2025 menghimpunkan pakar-pakar kejuruteraan jalan raya dari lebih 30 negara, termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, dengan tema utama memperkukuh pembangunan infrastruktur mampan dan inovatif di rantau Asia-Pasifik.






