GLOBAL | Senat AS hari ini mengundi untuk membatalkan darurat nasional yang dijadikan asas oleh Presiden Donald Trump dalam pelaksanaan tarif global dengan 51 undi menyokong berbanding 47 menentang, lapor Xinhua.
Bagaimanapun, menurut The Washington Post, undian itu hanya bersifat simbolik kerana Dewan Perwakilan AS telah meluluskan peraturan yang menghalang sebarang usaha untuk menyekat tarif Trump sehingga Mac depan.
Sebahagian besar ahli Republikan mengundi menentang langkah tersebut, manakala empat daripadanya menyertai Demokrat menyokong penamatan status darurat.
Awal minggu ini, Senat turut meluluskan dua resolusi lain dengan sokongan dwipartisan bagi membatalkan tarif terhadap barangan dari Kanada dan Brazil.
The Washington Post melaporkan langkah berkenaan menunjukkan semakin ramai anggota perwakilan AS tidak bersetuju dengan pendekatan agresif pentadbiran Trump yang menggunakan tarif untuk membentuk semula hubungan perdagangan negara mereka.
Dengan mengisytiharkan darurat antarabangsa atas alasan “defisit perdagangan yang besar dan berterusan”, Trump mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua negara asing selain tarif tambahan “timbal balas” terhadap negara yang mempunyai ketidakseimbangan perdagangan terbesar dengan AS pada awal April lalu.
Mahkamah Agung AS dijadual mengadakan pendengaran berhubung kes tarif Trump pada 5 Nov ini.
Dua mahkamah rendah sebelum ini memutuskan tarif berkenaan sebagai tidak sah. Susulan itu Trump mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung.
Menurut Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, kerajaan mengutip kira-kira AS$88 bilion hasil cukai daripada tarif itu setakat Ogos lalu.
Tax Foundation pula menganggarkan tarif berkenaan akan meningkatkan beban cukai lebih AS$1,600 setahun bagi setiap isi rumah dan mengurangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 0.5 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
– Bernama/Xinhua






