Malaysia Oversight

Presiden MIPP didakwa bukan ahli parti, Santharasekaran lapor ke ROS

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Presiden MIPP didakwa bukan ahli parti, Santharasekaran lapor ke ROS


Krisis dalaman Parti India Progresif Malaysia (MIPP) semakin meruncing apabila bekas presidennya, Santharasekaran Subramaniam, membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dengan mendakwa penggantinya, Punithan Paramasivam, bukan ahli berdaftar parti itu.

Menurut Santharasekaran, laporan itu difailkan pada 10 Okt selepas dia mendapati mesyuarat agung tahunan (AGM) MIPP yang diadakan pada 5 Okt tidak sah.

“AGM telah dijalankan atas dasar kepentingan peribadi Punithan selaku Presiden dan S Subramaniam selaku Timbalan Presiden.

“Tiada sebarang perbincangan awal bersama Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CWC) dan segala keputusan adalah autokratik, melanggar visi dan misi MIPP serta bertentangan dengan prosedur kerja penganjuran mesyuarat dan perlembagaan asas parti,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Dia turut menggesa ROS menjalankan siasatan terhadap proses penganjuran AGM tersebut.

85ad5cf15277fc75794619b91927ce6c
Punithan Paramasivam

“Saya menyarankan agar satu siasatan penuh dijalankan oleh pihak ROS dalam memastikan isu berkaitan diambil tindakan tegas kerana pelanggaran dasar penganjuran mesyuarat yang tidak adil,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Manimaran Kanappram, yang mendakwa dirinya setiausaha agung MIPP.

Dakwa AGM cacat dari segi proses dan kehadiran

Santharasekaran mendakwa pelbagai prosedur asas tidak dipatuhi, termasuk ketiadaan notis rasmi mesyuarat, kegagalan membentangkan laporan kewangan tahunan, serta usul yang tidak melalui perbincangan CWC sebelum dibawa ke AGM.

Dia mendakwa hampir 80 peratus individu yang hadir pada AGM itu bukan ahli parti, sebaliknya dibawa “untuk berjalan-jalan ke Kuala Lumpur”.

Dia juga mempersoalkan akaun rasmi MIPP yang didakwa tidak aktif serta menimbulkan isu berkaitan pengurusan dana parti.

Selain itu Santharasekaran juga menuduh wujud campur tangan pihak berkepentingan yang bertindak seperti samseng, selain pelantikan jawatankuasa baru yang dianggap tidak adil.

“Lantikan beberapa ahli jawatankuasa baru adalah tidak adil kerana ia adalah keputusan autokratik atas dasar kepentingan Punithan.

“Terdapat unsur campur tangan kumpulan berkepentingan dan samseng untuk mendapat habuan daripada parti kelak yang dijanjikan oleh Punithan jika menyertai dan membantu MIPP,” katanya.

MIPP merupakan sebuah parti komponen gabungan Perikatan Nasional (PN) dan diasaskan pada tahun 2018.

Pada tahun 2024 Punithan dilantik sebagai presiden sementara menggantikan Santharasekaran dalam mesyuarat tahunan parti di Bandar Sunway.

Sementara itu, Manimaran turut menyokong dakwaan tersebut dan mendakwa rekod keahlian parti membuktikan perkara itu.

“Berdasarkan rekod hanya 70 ahli berdaftar secara sah dengan parti, yang lain termasuk Punithan bukan ahli berdaftar,” katanya yang memberi keterangan kepada ROS hari ini/

Malaysiakini telah menghubungi Punithan untuk mendapatkan komen.



Source link