Malaysia Oversight

KL sibuk pelbagai acara tahun depan

By Utusan in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
KL sibuk pelbagai acara tahun depan


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Kalendar Acara Kuala Lumpur 2026 sebagai komitmen berterusan memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai hab pelancongan utama serantau pada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, kalender itu menghimpunkan pelbagai program dan aktiviti pelancongan, kebudayaan, kesenian, sukan dan rekreasi sepanjang tahun bagi menonjolkan keunikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Majlis hari ini turut diserikan dengan pelancaran lagu dan video VisitKL, penggunaan Mayor’s Courtyard sebagai pentas persembahan kebudayaan serta pelancaran Bas Hop-On Hop-Off versi baharu dengan konsep moden dan mesra pelancong.

“Ketiga-tiga inisiatif ini menandakan permulaan baharu dalam pengukuhan produk pelancongan Kuala Lumpur, berteraskan identiti bandar raya yang berbudaya dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.

Maimunah berkata, mercu tanda ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Carcosa Seri Negara serta Presint Tangsi-Bukit Petaling termasuk Laman Datuk Bandar sedang dipulihkan.

“Warisan Kuala Lumpur bukan sekadar pemuliharaan, malah penyegaran semula yang menghidupkan kembali sejarah, memastikan legasi budaya bandar ini terus mengilhamkan negara sambil mengalu-alukan dunia,” katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur akan terus bersinar lebih terang sebagai nadi Asia.

“Dengan sokongan berterusan daripada Tourism Malaysia, ThinkCity dan rakan-rakan sektor swasta, Kuala Lumpur berada di landasan kukuh untuk memperkukuh kedudukannya sebagai bandar pelancongan bertaraf dunia,” katanya.-UTUSAN





Source link