Malaysia Oversight

Apa status kes bunuh Zayn Rayyan

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Apa status kes bunuh Zayn Rayyan


Seorang peguam bagi keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin — kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang ditemui meninggal dunia di tepi anak sungai dekat rumahnya pada 2023 — mendakwa polis gagal memberikan maklumat bermakna mengenai perkembangan siasatan kematian kanak-kanak itu.

Haresh Mahadevan, yang mewakili ibu Zayn, Ismanira Abdul Manaf dalam perbicaraan pengabaian kanak-kanak berkata usaha berulang kali keluarga mendapatkan maklumat daripada polis mengenai status siasatan setakat ini tidak berhasil.

“Kami menghantar tiga surat kepada pihak berkuasa sekitar awal tahun ini, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mensabitkan Ismanira atas pertuduhan mengabaikan anak dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, berkuat kuasa hari ini.

f543b3a4bbcdb253c83b86b48a4258c2

Mahkamah mendapati Ismanira cuai apabila membenarkan Zayn berjalan di belakangnya tanpa pengawasan, yang membawa kepada kehilangannya.

Wanita berusia 30 tahun itu turut diperintahkan oleh Hakim Syahliza Warnoh untuk melengkapkan 120 jam khidmat masyarakat serta menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, datuk sebelah bapa Zayn, Zahari Reba berkata walaupun mahkamah sudah membuat ketetapan, polis masih memikul tanggungjawab untuk meneruskan usaha mengesan pembunuh Zayn.

“Apa status kesnya? Sehingga sekarang, siasatan polis gagal kerana pembunuh masih bebas.

a56def5e96c899a751671a1eb88bface

“Saya merayu kepada pihak berkuasa supaya meneruskan siasatan secara adil dan telus,” tambahnya.

Dia menegaskan walaupun keluarganya difitnah dan dihina dalam talian oleh pihak tidak bertanggungjawab, mereka akan terus berdoa agar keadilan Ilahi menimpa pihak yang menzalimi mereka.

“Hati kami hancur mendengar keputusan hari ini kerana hubungan kami dengan menantu sentiasa rapat, tetapi memandangkan sekarang kami perlu menjaga adik Zayn, kami juga perlu menjaga emosi.

“Kami berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan kanak-kanak itu kepada kami, kami sedia menjaganya,” kata Zahari.

2a5a04b2eaf1ef4964524e0b5996b44c

Sementara itu, Haresh mengesahkan kepada Malaysiakini pasukannya sudah memulakan proses memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Ismanira pada awalnya didakwa bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, pada 13 Jun tahun lalu. Pertuduhan terhadap mereka menyatakan pasangan itu mengabaikan Zayn sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari, 5 Dis, hingga 9.55 malam keesokan harinya pada 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali. Pasangan itu mengaku tidak bersalah ketika didakwa.

Mahkamah kemudian membebaskan Zaim pada 21 Julai tahun ini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bapa itu meskipun 28 saksi pendakwaan dipanggil.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Dis dan ditemui meninggal dunia berhampiran anak sungai berdekatan rumahnya pada keesokan hari, dengan kecederaan dikesan pada leher dan badan.

Bedah siasat ke atas mayatnya menunjukkan mangsa dibunuh.

[Baca berita asal]



Source link