Pemuda Bersatu (Armada) hari ini menggesa semua agensi berita dan portal dalam talian untuk ‘mengajar’ Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dianggap bertindak berlebihan ke atas wartawan semalam.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata tindakan Nga – yang juga seorang pemimpin kanan DAP – menunjukkan sisi angkuh seorang ahli kabinet kerajaan Madani.
Katanya, Pemuda Bersatu tidak faham mengapa menteri terbabit kelihatan begitu defensif apabila ditanya mengenai nama projek yang dilancarkannya semalam tidak menggunakan bahasa Melayu.
Sedangkan, kata Harris Idaham, perlembagaan menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.
“Penjelasan yang diberi oleh menteri tersebut sangat dangkal dan tidak masuk akal (iaitu) tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia, justeru pengunaan bahasa Inggeris penting untuk pelancong berasa sense of belonging,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Harris Idaham lagi, pelancong asing berkunjung ke negara ini kerana ingin melihat identiti Malaysia, kekayaan budaya, kemajmukan masyarakat dan budi pekerti masyarakat Timur.
Sebagai negara, katanya, semua pihak perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, khususnya dalam menamakan tempat tarikan pelancong.
Katanya, Pemuda Bersatu mengecam keras tindakan Nga yang tidak menghormati pengamal media dan seolah-olah mahu menghukum wartawan tersebut kerana bertanyakan soalan yang bagi kami amat relevan.

“Pemuda Bersatu menyeru agar agensi dan portal berita menunjukan semangat comradeship (kebersamaan) untuk tidak memberi liputan kepada menteri tersebut supaya menjadi pengajaran kepada beliau dan juga pemimpin lain,” katanya lagi.
Nga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak termasuk kesatuan wartawan apabila memberitahu wartawan Utusan Malaysia semasa prapelancaran projek I Lite U – yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 – semalam.
Wartawan tersebut membangkitkan pertanyaan mengapa program berkenaan menggunakan bahasa Inggeris.
Tidak senang dengan soalan tersebut, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan antara lain bertanya semula kepada wartawan terbabit: “Awak dari media mana? Saya akan hubungi editor awak”.






