Malaysia Oversight

‘Laknat, semua ni akan laknat!’

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
'Laknat, semua ni akan laknat!'


Prosiding bagi mendengar keputusan hakim bagi pertuduhan ke atas ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini gempar seketika apabila kedengaran takbir dilafazkan perlahan sejurus selepas wanita terbabit didapati bersalah.

Sebelum itu hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Syahliza Warnoh, mendapati Ismanira Abdul Manaf bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak terbabit dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Syahliza mengarahkan agar tertuduh mula menjalani hukuman berkenaan hari ini.

Keadaan bertukar menjadi tegang apabila suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari, dilihat tidak dapat mengawal perasaan selepas hakim menolak permohonan peguam tertuduh, Haresh Mahadevan, agar hukuman tersebut ditangguhkan.

Zaim kedengaran menjerit “laknat, semua ni akan laknat!” ketika polis mengiringi Ismanira keluar dari mahkamah.

“Laknat, semua ni akan laknat!” katanya ketika polis mengiringi Ismanira keluar dari kamar mahkamah tersebut dan pihak keluarga cuba menenangkan lelaki terbabit.

Dalam penghakimannya, Syahliza berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes yang dibawa.

Katanya, mahkamah mendapati Ismanira melakukan pengabaian apabila membiarkan Zayn Rayyan berjalan tanpa pengawasan di belakangnya sehingga membawa kepada kehilangan kanak-kanak autistik terbabit.

Dalam rayuannya, Haresh menegaskan bahawa Ismanira merupakan pesalah kali pertama dan hukuman penjara akan memisahkan tertuduh daripada anak keduanya yang juga mengalami autisme.

Katanya, anak kedua pasangan itu akan terjejas teruk kalau Ismanira dipenjara.

Wanita terbabit diarah untuk membela diri pada 21 Julai lalu apabila mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atasnya, manakala Zaim Ikhwan, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari, pada 5 Disember hingga jam 9.55 malam pada 6 Dissember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Source link