Malaysia Oversight

‘Wan Fayhsal terdesak’ – Bersatu nafi Hamzah sasaran sebenar

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
'Wan Fayhsal terdesak' - Bersatu nafi Hamzah sasaran sebenar


Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz membidas ahli parti itu yang digantung, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana mendakwa lembaga disiplin parti menyasarkan timbalan presiden, Hamzah Zainudin.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak wajar dan tidak bertanggungjawab, Tun Faisal berkata ia menunjukkan Wan Fayhsal sudah terdesak dan ingin menimbulkan tanggapan negatif terhadap integriti Bersatu.

“Dia tidak sepatutnya membuat andaian awal terhadap tindakan lembaga disiplin sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak lembaga disiplin.

“Tindakannya menunjukkan ketidakmatangan politik dan percubaan mencampuri proses tatatertib dalaman yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ia di tengah ketegangan berterusan dalam Bersatu selepas tindakan disiplin dikenakan terhadap beberapa ahli parti, termasuk Wan Fayhsal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan atas dakwaan melanggar disiplin.

c3afff06f712e1c8e4665f4961f8e9ba
Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal

Tindakan disiplin terhadap kedua-dua ahli Parlimen itu mencetuskan spekulasi mengenai perpecahan yang semakin melebar dalam parti, dengan kedua-duanya mendakwa ada motif politik di sebalik keputusan itu.

Semalam, Wan Fayhsal mendakwa Hamzah merupakan sasaran sebenar di sebalik tindakan pembersihan parti terhadap pemimpin kanan dan akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, ahli Parlimen Machang itu turut mendakwa soalan yang dikemukakan oleh lembaga disiplin semasa prosiding terhadap mereka berfokus kepada Hamzah, yang juga ketua pembangkang.

“Dari saya dipanggil sampai ke hari ini, sasaran utama Lembaga disiplin mereka ingin bertanya apa peranan ketua pembangkang, mereka mahu tindakan dikenakan kepada ketua pembangkang.

“Sebab itulah kami-kami yang kena tindakan disiplin ni, hanya la collateral. Sasaran utama adalah Hamzah,” katanya.

Wan Fayhsal turut menyasarkan Presiden Bersatu, Yassin dengan mendakwa dia bertanggungjawab membiarkan “kerosakan dalaman” parti berlarutan.

‘Taktik alih perhatian’

Mengulas kenyataan Wan Fayhsal, Tun Faisal berkata dakwaan bahawa mereka hanyalah mangsa atau “kerosakan sampingan (collateral damage)” tidak benar dan mengelirukan.

“Kenyataan sedemikian jelas merupakan cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan-kesalahan mereka sendiri yang telah terbukti melanggar perlembagaan serta disiplin parti,” katanya.

Kata Tun Faisal, semua ahli yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk Wan Fayhsal dan sekutunya, dihukum atas salah laku individu.

“Mereka telah melanggar perlembagaan, peraturan dan disiplin parti, dan oleh itu sebarang dakwaan kononnya mereka menjadi mangsa adalah tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap lembaga disiplin.

“Jika Wan Fayhsal didapati bersalah atas sesuatu aduan, maka itu adalah akibat daripada tindakannya sendiri, bukan kerana pihak lain. Begitu juga Wan Saiful,” katanya lagi.



Source link