Malaysia Oversight

Musuh dalam selimut: Perjanjian Amerika-Malaysia 

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 7 minute
Musuh dalam selimut: Perjanjian Amerika-Malaysia 


Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang baru ditandatangani diraikan oleh segelintir pihak sebagai kejayaan diplomatik.

Namun, realitinya jauh—indah khabar dari rupa. Perjanjian ini bukan sahaja bertentangan dengan dasar luar negara yang tidak berkecuali, malah ia adalah satu penyerahan besar autonomi dasar negara kita demi konsesi yang sangat minimal.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, yang tidak dipilih rakyat, dengan megahnya mendakwanya “perjanjian terbaik untuk Malaysia.” Angka-angka sebenar mendedahkan kenyataan itu sebagai khayalan.

b46918a54d93a145077f2a2fd494ccb6
Tengku Zafrul Aziz

Perjanjian ini menjamin kadar tarif sifar hanya untuk 12 peratus daripada barangan eksport kita yang hanya bernilai sekitar AS$5 bilion. Analisis bebas yang lebih   berkredibiliti  pula menganggarkan nilai sebenar barangan yang dikecualikan hanyalah AS$1 bilion, hanya 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport. 

Ini bermakna majoriti produk kita, termasuk barangan berteknologi tinggi, masih dikenakan tarif sehingga 19 peratus. Angka ini sahaja sudah menafikan sepenuhnya dakwaan “perjanjian terbaik” itu. Sebagai perbandingan, jiran kita Singapura hanya dikenakan tarif 10 peratus.

Kos sebenar perjanjian ini tidak boleh diukur hanya melalui tarif, tetapi melalui penyerahan kedaulatan negara kita secara terang-terangan. Malaysia menandatangani 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sejak sekian lama, namun tiada satu pun yang mengandungi peruntukan yang begitu menghina maruah negara seperti perjanjian ini.

Ada enam sebab utama mengapa perjanjian ini memalukan dan berat sebelah.

Pertama, perjanjian ini memberikan AS kuasa veto ke atas hubungan perdagangan masa depan kita, membenarkan mereka membatalkan perjanjian dan mengenakan semula tarif jika kita menandatangani FTA dengan negara yang dianggap “membahayakan kepentingan penting AS.” 

Perundukan ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 5.3. Ini juga terpakai kepada perjanjian perdagangan digital.

(Perkara 3.3: Perjanjian Perdagangan Digital: Malaysia akan berunding dengan Amerika Syarikat sebelum memasuki perjanjian perdagangan digital baru dengan negara lain yang membahayakan kepentingan penting AS).

Kedua-dua klausa ini dengan jelas menundukkan strategi ekonomi nasional kita kepada kepentingan geopolitik kuasa asing. Ini tidak banyak berbeza dengan era penasihat British dan Sultan-Sultan Melayu, yang “nasihat” mereka hakikatnya adalah perintah. Jika ini bukan penyerahan kepada kuasa asing, maka apa lagi?

Kedua, Malaysia juga diwajibkan untuk menjadi pak turut dalam sebarang sekatan ekonomi atau keselamatan nasional unilateral AS terhadap negara ketiga. 

Penguat kuasa polisi Amerika

Perkara 5.1. Perkara 5.1 dengan jelas menyatakan jika AS mengenakan sekatan terhadap negara ketiga, Malaysia “hendaklah menerima pakai atau mengekalkan langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara dengan langkah yang diterima pakai oleh AS.”

Jika AS memutuskan untuk melancarkan perang ekonomi ke atas , Vietnam, Iran atau Turkiye, kita diwajibkan untuk mengikut. Kita secara efektif menjadi penguat kuasa polisi Amerika, sekali gus memusnahkan dasar luar tidak berkecuali Malaysia. Mengapa Malaysia tidak boleh menentukan sendiri apa yang terbaik untuk menjamin kepentingan ekonomi atau keselamatan nasionalnya?

Ketiga, komitmen untuk menyalurkan hampir RM1 trilion dalam pelaburan ke dalam ekonomi yang tujuh kali lebih kaya daripada kita, termasuk mewajibkan Petronas membeli gas asli cecair (LNG) AS bernilai RM15 bilion setahun, bukanlah perdagangan bebas mahupun kedaulatan komersial. 

3324a3e9f60cc6fe8a964985c20a24b4
Fasiliti LPG Petronas, gambar hiasan

Menteri yang tewas pilihan raya ini dengan bangganya mendakwa pembelian LNG dari AS oleh Petronas “bukan perkara baharu.” Beliau tersilap. Petronas sentiasa mempunyai kebebasan komersial untuk membeli LNG dari mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Apa yang benar-benar tidak normal dan belum pernah berlaku ialah Malaysia menandatangani perjanjian mewajibkan Petronas membeli LNG daripada AS bernilai sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun. Tiada kita sebelum ini dalam mana-mana perjanjian perdagangan menerima   terma-terma   yang sedemikian. Hujah Zafrul salah.

Keempat, perjanjian ini juga mendiskriminasi kepentingan domestik kita sendiri. Perkara 6.2 mewajibkan Malaysia memastikan syarikat milik atau dikawal negara (SOE) tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan AS, dan menahan daripada memberikan bantuan bukan komersial atau sebaliknya menyubsidi SOE. 

Ini sebenarnya mengikat sebelah tangan kita di belakang dan melemahkan perniagaan kita sendiri di pasaran tempatan, terutamanya terhadap syarikat Bumiputera. 

Walaupun kita semua bersetuju bahawa sesetengah GLC ini memerlukan reformasi signifikan, mengapakah bersetuju untuk menghukum , Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan entiti lain milik rakyat yang berfungsi untuk melindungi kepentingan strategik dan sosial negara?

Perjanjian ini seterusnya mewajibkan kita membuka pasaran kita secara luas kepada produk AS, termasuk kenderaan dan barangan pertanian. Perkara 2.3: Pertanian, menyatakan “Malaysia hendaklah menyediakan akses pasaran tidak mendiskriminasi atau  preferensi untuk barangan pertanian AS seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian ini.” 

Model konsensus Washington kuno

Ini adalah model konsensus Washington kuno yang dipertikaikan sejak 35 tahun lalu. Perdana menteri dan menteri perdagangan nampaknya gembira untuk kembali ke masa silam dan berkiblatkan Washington.

Kelima, kita juga bersetuju untuk melemahkan autoriti Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim) dengan membenarkan logo halal yang disahkan AS digunakan pada produk yang masuk ke Malaysia (Lampiran III: Perkara 2.5, (Pensijilan Halal untuk Barangan Perindustrian: 

1. Malaysia tidak memerlukan barangan perindustrian, termasuk kosmetik, farmaseutikal, dan peranti perubatan, untuk disahkan halal dan tidak akan mengenakan sebarang keperluan sedemikian. 

2. Malaysia hendaklah membenarkan penggunaan logo halal yang dikeluarkan oleh mana-mana pensijil halal AS yang ditetapkan oleh Jakim.

fbd8b402302e032166013e1c26d20d0e

Walaupun ramai yang bersetuju bahawa sistem halal perlu ditambah baik, mengapakah kerajaan bersetuju  melemahkan  autoriti Jakim yang juga mungkin akan melemahkan dominasi kita dalam ekonomi halal global? 

Adakah kita akan menawarkan keistimewaan yang sama kepada atau India, yang mempunyai populasi Muslim yang jauh lebih besar daripada AS? Ini adalah dasar diskriminasi terang-terangan.

Keenam, beberapa cukai juga tidak dapat dikutip dari syarikat dan barangan dari AS. Kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan cukai digital ke atas mana-mana firma AS, walaupun cukai digital telah berkuat kuasa sejak 2020. 

(Perkara 3.1: Cukai Perkhidmatan Digital: Malaysia tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital, atau cukai yang serupa, yang mendiskriminasi syarikat AS dalam undang-undang atau pada hakikatnya.) 

Ini adalah kerugian fiskal, kerajaan mengutip RM1.6 bilion daripada 464 entiti asing dari 29 negara tahun lalu sahaja. Adakah kita kini akan mengecualikan kesemua mereka juga?

Syarikat-syarikat AS juga tidak perlu menyumbang enam peratus hasil mereka kepada Dana Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USP) yang diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). 

(Lampiran III: Perkara 3.1: Peraturan Platform Media Sosial dan Pembekal Awan, Seksyen — Malaysia hendaklah membuang keperluan untuk platform media sosial dan pembekal awan AS menyumbang enam peratus hasil yang diperoleh di Malaysia kepada dana domestik untuk beroperasi di Malaysia). 

Dana ini ditubuhkan pada 2002 untuk merapatkan jurang digital di Malaysia dan dibiayai oleh lebih 30 firma tempatan dan antarabangsa termasuk Maxis dan Telekom. Mengapakah firma AS dikecualikan, sedangkan entiti tempatan kita sendiri diwajibkan menyumbang?

Cabuli tujuan asal SST

Kerajaan juga bersetuju untuk tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada hasil pertanian dan hasil laut yang kita import dari AS. Menurut Lampiran III: Perkara 1.2: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), “Malaysia hendaklah mengecualikan eksport barangan pertanian dan hasil laut AS daripada cukai penggunaan Malaysia (pada masa ini SST). 

Langkah ini secara jelas mencabuli tujuan asal SST untuk mengenakan cukai ke atas produk import bagi melindungi industri pertanian dan perikanan tempatan. Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan dasar rasmi, tetapi juga mencipta duluan yang membimbangkan – adakah kita kini perlu meluaskan keistimewaan ini kepada semua negara?

Kerosakan perjanjian ini melangkaui ekonomi; ia adalah instrumen strategik yang memaksa kita menyelaraskan polisi negara dengan dasar luar AS untuk mengekang

67aaca478f478f63649c7501f4529dd5

Lampiran III: Perkara 5.2: Keselamatan Peralatan dan Platform mewajibkan “Malaysia [untuk] hanya menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan keselamatan, perlindungan, dan harta intelek infrastruktur ICT, termasuk 5G, 6G, satelit komunikasi, dan kabel dasar laut,” sambil menambah bahawa “Amerika Syarikat dan Malaysia akan berunding mengenai sama ada pembekal tidak dapat memenuhi piawaian ini.” 

Ini adalah cek kosong untuk mengecualikan pemain teknologi China seperti Huawei. Bolehkah kerajaan menerangkan logik ini, memandangkan teknologi China adalah bertaraf dunia dan peneraju dalam inovasi global?

Malah, perjanjian ini juga memberi kesan kepada drama televisyen tempatan kita kerana ia memaksa Malaysia membuang kuota kandungan tempatan 80 peratus untuk penyiar terestrial dan membenarkan siaran asing tanpa sekatan pada waktu perdana 

(Lampiran III: Perkara 2.20: Penyiaran: Malaysia hendaklah membuang keperluan dalam perlesenan penyiaran yang mewajibkan stesen penyiaran memperuntukkan 80 peratus masa siaran terestrial kepada pengaturcaraan tempatan Malaysia, dan Malaysia hendaklah membenarkan siaran pengaturcaraan asing pada waktu perdana).

Ini merupakan detik hitam bagi perlindungan dan pertumbuhan industri filem dan televisyen tempatan negara. Pada masa kebanyakan negara di dunia menolak sampah budaya dari AS, kita sebaliknya melakukan yang bertentangan.

Malaysia tidak asing dengan perjanjian perdagangan bebas, malah telah pun berjaya melaksanakan 16 daripadanya, sejak perjanjian perdagangan bebas (FTA) Asean pertama pada tahun 1993. Namun, tiada satu pun daripada perjanjian sebelumnya — sama ada dengan Jepun, Australia, India atau rakan serantau—yang menjejaskan hak kita untuk menentukan nasib sendiri.

Tiada perdana menteri atau menteri perdagangan yang lepas sejak merdeka, dari mana-mana parti, pernah melutut dan memohon kebenaran untuk membuat dasar sendiri daripada negara asing, menyerahkan hak untuk memerintah sendiri, atau dengan sukarela membiarkan tanah merdeka yang ekonominya dijajah kuasa asing. Ini bukan perjanjian perdagangan, ia adalah penyerahan kepada sebuah hegemon.

Jelas, perjanjian ini menggadai kedaulatan pada harga yang sangat murah. Persoalannya, mengapa dengan mudah menyerah diri?

Adakah ada musuh dalam selimut dalam kalangan kita?


MUHAMMED A KHALID adalah Felo di World Inequality Lab di Paris School of  Economics.  

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link