Beberapa kumpulan media mengecam tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut seorang wartawan selepas dia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi.
“Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah dilihat sebagai cubaan untuk menakutnakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Teh Athira Mohamed Yusof pada kenyataan hari ini.
Walaupun tiada nama disebut secara langsung, kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung insiden semasa prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada acara tersebut, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris. Nga menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, dia kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan yang diajukan.
“Saya tidak mahu awak datang ke sini dan menimbulkan perkara yang boleh merosakkan keseluruhan majlis. Saya akan hubungi ketua pengarang awak,” katanya.
Hantar mesej salah kepada media
Teh Athira berkata sebagai penjawat awam, menteri perlu menghormati peranan media dalam menyampaikan maklumat, bukannya menekan wartawan hanya kerana mereka mengemukakan soalan sukar.
Tambahnya lagi, kenyataan menteri untuk “menghubungi ketua pengarang” itu menghantar mesej yang salah dan berbahaya, seolah-olah memberi isyarat bahawa wartawan patut dihukum hanya kerana menjalankan tugas mereka.
“NUJM sekali lagi menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai tanggungjawab untuk bertanya, menyiasat dan melapor dengan berintegriti, bebas daripada campur tangan politik atau ancaman balas dendam.

“Sebarang tindakan yang mengekang kebebasan media hanya akan merosakkan kredibiliti kerajaan serta menghakis kepercayaan awam.
“Kami menggesa semua pihak, khususnya para menteri dan pemimpin politik, agar menghormati peranan media dan,” kata Teh Athira.
Kebebasan media bukan musuh kerajaan
Berkongsi pendirian sama, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyeru semua pihak — khususnya pemimpin kerajaan — agar menjaga adab dan menghormati wartawan yang hanya menjalankan tugas.
“Soalan wartawan bukan serangan peribadi. Ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi. Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak.
“Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri.
“Seorang menteri perlu memahami bahawa kebebasan media bukan ancaman, tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran. Wartawan tidak perlu dipuji, tetapi juga tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana bertanya soalan yang sukar,” kata kenyataan Geramm.






