Malaysia Oversight

Potensi REE dan kebimbangan palsu Kelantan

By MkiniBM in October 30, 2025 – Reading time 2 minute
Potensi REE dan kebimbangan palsu Kelantan


ULASAN | Lucu juga apabila ada negeri yang masih gagal menguruskan sampah, air dan banjir di tempat mereka tiba-tiba mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global.

Perjanjian di antara Kuala Lumpur dan Washington yang mereka bimbangkan itu bukan perjanjian menjual unsur nadir bumi (REE) kepada AS sebaliknya sekadar kerjasama pelaburan dan teknologi.

Langkah itu diambil supaya Malaysia – termasuklah – boleh memproses dan jana nilai tambah dalam negara.

Dasar ini selari dengan pendirian yang mahu REE diproses dalam negeri, dan bukannya digali serta dijual sebagau bahan mentah.

Maka, tidak ada percanggahan dasar di antara pusat dan negeri. Apa yang berbeza hanyalah persepsi terhadap niat sebenar perjanjian tersebut.

Hak negeri terhadap REE tidak terusik walaupun seinci sebab ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Yang menakut-nakutkan rakyat kononnya hasil negeri akan dirampas melalui perjanjian berkenaan hanyalah cubaan menutup kelemahan sendiri.

Hasil ada, tapi pengurusan tiada.

Persekutuan hari ini bukan kerajaan era 1970-an yang merampas hak negeri. Dasar kita adalah jelas – bahan REE mesti diproses dalam negara, bukan dieksport mentah-mentah.

Ironinya, dasar ini sama seperti yang kerajaan mereka dakwa sedang perjuangkan. Cuma bezanya ialah, pihak pusat bekerja membangunkan industri, bukan sekadar berceramah mengenainya.

Hakikatnya perjanjian Malaysia–AS itu bukan perjanjian jual negara. Ia adalah perjanjian perdagangan dua hala sama seperti perjanjian lain yang ditandatangani oleh banyak negara lain.

Tujuannya adalah untuk membuka pasaran, menarik pelaburan, dan mengukuhkan keyakinan ekonomi.

Tidak ada satu ayat pun dalam perjanjian tersebut yang menunjukkan kerajaan menyerahkan hak negeri kepada mana-mana kuasa luar. Justeru bidang REE kekal di bawah kuasa negeri.

Kalau nak melombong, kerajaan negeri tetap menjadi pihak yang berkuasa mengeluarkan lesen. Pihak persekutuan pula cuma mengawal dasar keselamatan, hal ehwal eksport, dan piawaian persekutuan.

Itu adalah amalan normal dalam mana-mana sistem federalisme.

Justeru mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan Kelantan lebih sibuk menyiapkan pelan industri sebenar berbanding menulis skrip drama politik lama mereka yang mengulang-ulang naratif “kami dizalimi lagi”.

Kelantan bolehlah mula menyiapkan dulu pelan industri air tuak Kelantan – suatu industri yang sudah lama wujud di Kelantan.


MAHFUZ OMAR ialah Naib Presiden Amanah dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link