PARLIMEN | Pembangkang membangkitkan betapa tiada ruang untuk mereka melontarkan pandangan berhubung tarif timbal balas yang dikenakan AS terhadap Malaysia sehingga termeterainya perjanjian kedua-dua negara baru-baru ini.
Mohd Radzi Jidin (PN – Putrajaya) tampil menarik perhatian Dewan Rakyat bahawa satu kaukus ditubuhkan kerajaan dan ia dimaklumkan melalui ketua pembangkang pada Mei lalu bagi membincangkan perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak pernah dipanggil untuk bermesyuarat sebelum perjanjian tersebut dimuktamadkan.
“Saya merupakan salah seorang ahli mewakili pembangkang. Tujuan kaukus ini adalah untuk kita bagi pandangan, sekarang ini di luar sana rakyat tertanya-tanya kenapa sekarang baru kami nak bagi pandangan?
“Saya nak jelaskan kepada rakyat di luar sana, walaupun surat ini sampai kepada ketua pembangkang pada 16 Mei, kita dah beri nama untuk dimasukkan dalam kaukus ini, tapi kami tidak pernah dipanggil bermesyuarat sekali pun, tidak ada ruang untuk kami beri pandangan.
“Ini bukan benda kecil, kerajaan tak boleh menganggap benda ini kecil, saya nak rekodkan di sini memang ada panggilan kepada pembangkang untuk masuk dalam kaukus tetapi tidak pernah bermesyuarat, apakah ini kerajaan yang kata kerajaan inklusif yang mengambil pandangan pembangkang?” tegasnya.
Dia berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Liew Chin Tong, di Parlimen, hari ini.
Wujud industri hiliran
Radzi yang juga naib presiden Bersatu turut membuat perbandingan berhubung perjanjian perdagangan di antara Malaysia – AS dengan perjanjian sama di antara Kemboja – AS.
Menurutnya beberapa perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut terdapat perbezaan yang ketara antara Malaysia dan Kemboja walaupun kadar tarif dikenakan AS adalah sama iaitu 19 peratus.
“Sebab itu saya lihat kenapa kita mengambil tindakan terlalu mengekang, terlalu spesifik dalam konteks ini, untuk mencapai kadar tarif yang sama dan penurunan (kadar tarif) jauh lebih rendah bebanding kemboja.
“Perjanjian (AS) dengan Kemboja saya tak nampak begitu spesifik, dalam perkara kita ia begitu spesifik, jadi saya nak perjelasan apakah critical infrastructure yang kita cakap ini dan apakah akses boleh didapati AS, dan kenapa kita masukkan satu klausa dan begitu mengikat kalau dibandingkan dengan kemboja?” soalnya yang memetik perkara 3 perjanjian berkenaan.
Chin Tong (PH-Iskandar Puteri) kemudiannya menegaskan tidak adil untuk ahli parlimen terbabit membuat perbandingan perjanjian di antara kedua-dua negara berkenaan.

Menurutnya, perjanjian dimeterai Kemboja itu hasilnya telah menghapuskan semua tarif mereka ke atas AS.
“Kemboja memang ada perjanjian (dengan AS) tapi perjanjian itu hasilnya Kemboja hapuskan semua tarif. Kita tidak hapus semua tarif,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, Kemboja membenarkan AS untuk melaburkan dalam unsur nadir bumi (REE) di negara tersebut dengan meneroka, mengekstrak, dan memproses.
“Kita (Malaysia) tidak, kita ada ruang untuk berunding, jadi saya rasa tidak adil untuk membandingkan antara cukai kita dengan cukai kemboja.
“Dasar kita sekarang adalah tidak membenarkan eksport (REE mentah) selain mendapat kebenaran kabinet. Kita ingin mewujudkan industri hiliran di negara kita, maka kita tidak membenarkan eksport REE mentah.
“Dalam konteks AS, dasar kita sama,” tambah Chin Tong.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Qistina Nadia Dzulqarnain






