Polis Perak nasihat pendaki gunung dapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan bertauliah dan maklumkan pihak berkuasa sebelum aktiviti pendakian.
IPOH: Orang ramai yang merancang melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan pergunungan di Perak dinasihatkan mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan atau jurupandu bertauliah.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata tindakan mendapatkan khidmat individu atau agensi yang tidak diiktiraf boleh mengundang risiko terutama apabila berlaku kecemasan di kawasan terpencil.
Beliau menekankan bahawa hutan bukan tempat yang mudah untuk diterokai dan memerlukan pengetahuan, pengalaman serta latihan yang mencukupi.
Para pendaki juga perlu mempunyai tenaga yang mencukupi dan tahu diet atau makanan yang sesuai untuk dibawa sewaktu pendakian.
Mana-mana kumpulan atau individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian perlu memaklumkan kepada balai polis terdekat dan mendapatkan permit rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri.
Noor Hisam berkata kegagalan memohon permit atau tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa boleh menyebabkan kelewatan operasi menyelamat.
Permit bertujuan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa ada aktiviti manusia di kawasan berkenaan untuk memudahkan koordinasi menyelamat.
Pasukan penyelamat memerlukan maklumat seperti bilangan pendaki, titik mula pendakian dan lokasi keluar yang dirancang.
Pada 16 Oktober lepas, seorang pendaki berusia 34 tahun meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat selepas melakukan pendakian dari Bukit Fraser.
Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menutup kawasan pendakian Gunung Liang kepada orang awam berkuat kuasa 22 Oktober lalu.
Arahan penutupan itu dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal. – Bernama
Post Views: 6






