Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersetuju memotong tarif terhadap barangan China selepas mencapai persefahaman dengan Presiden Xi Jinping untuk mengekang perdagangan fentanyl, menyambung semula pembelian kacang soya AS dan menangguhkan sekatan eksport nadir bumi.
Reuters melaporkan pertemuan bersemuka di Busan, Korea Selatan — kali pertama antara kedua-dua pemimpin sejak 2019 — berlangsung hampir dua jam pada hari ini dan menandakan penutup kepada lawatan pantas Trump ke Asia.
Dalam siri lawatan itu, dia turut mengumumkan kejayaan rundingan perdagangan dengan Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Asia Tenggara.
“Ia satu pertemuan menakjubkan — saya beri markah 12 daripada 10,” kata Trump.

Trump berkata kadar tarif akan dikurangkan kepada 47 peratus daripada 57 peratus.
Xi pula dipetik Reuters berjanji akan “berusaha keras menghentikan aliran” fentanyl sejenis opioid sintetik yang menjadi punca utama kematian akibat overdosis di AS.
China tangguh sekatan nadir bumi setahun
Kementerian Perdagangan China mengesahkan kedua-dua negara bersetuju menangguhkan sekatan eksport nadir bumi selama setahun.
Elemen penting ini digunakan dalam pembuatan kenderaan, pesawat dan senjata dan menjadi alat tekanan Beijing dalam perang dagangan dengan Washington.
Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju memperluas perdagangan pertanian dan mencari penyelesaian terhadap isu aplikasi video pendek TikTok yang mahu diletakkan di bawah kawalan syarikat AS.
Xi memberitahu Trump bahawa “pergeseran sekali-sekala antara dua ekonomi terbesar dunia adalah sesuatu yang normal,” sambil menegaskan kebangkitan China tidak bercanggah dengan cita-cita Trump untuk “menjadikan Amerika hebat kembali”.

Kedua-dua negara turut bersetuju menangguhkan caj pelabuhan timbal balas dan memulakan pembelian tenaga AS — termasuk projek paip gas asli cecair (LNG) bernilai AS$44 bilion di Alaska.
Sementara itu, Trump dipetik Reuters berkata dia akan mengunjungi China pada April 2026 manakala Xi dijangka melakukan lawatan balas ke AS selepas itu.
Media rasmi China menggambarkan pertemuan itu sebagai kejayaan dasar Xi, dengan agensi berita Xinhua memetiknya sebagai berkata China “mempunyai keyakinan dan keupayaan untuk mengharungi segala risiko dan cabaran.”
“China dan Amerika Syarikat sepatutnya menjadi rakan kongsi dan sahabat. Itulah yang diajarkan sejarah dan yang diperlukan oleh realiti,” katanya.

Xi turut berkata dia bersedia untuk terus bekerjasama dengan Trump bagi membina asas kukuh dalam hubungan China-Amerika Syarikat.
“Kita berdua berada di pucuk pimpinan hubungan China-Amerika Syarikat,” kata Xi.
“Dalam menghadapi angin, ombak dan cabaran, kita harus kekal di haluan yang betul, mengemudi landskap yang kompleks dan memastikan kapal besar hubungan China-Amerika Syarikat terus berlayar dengan stabil ke hadapan.”






