PARLIMEN l Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menempelak pihak yang terus mempertikaikan kerjasama kementeriannya dengan Starbucks, sambil menuduh mereka mempolitikkan isu itu hingga menjejaskan usaha mempromosi pelancongan negara.
Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, Tiong yang kelihatan agak berang menegaskan bahawa kementeriannya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi, khususnya bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Kita bukan kerjasama dengan Starbucks saja, minta semua ahli parlimen kalau boleh, datang bila-bila saya punya kementerian, saya boleh kemukakan senarai (kerjasama yang dijalankan),” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan 2026.
Menurutnya, kementerian turut bekerjasama dengan pelbagai jenama lain, namun hanya kerjasama dengan Starbucks menjadi sasaran kritikan.
“Danish butter cookie pun ada kerjasama juga, tapi tak ada orang sentuh juga, ada perfume (minyak wangi) juga dari orang Islam punya halal punya, tapi orang tidak ungkit ini barang,” katanya sambil memegang produk-produk berkenaan.
Tiong menegaskan bahawa memainkan isu politik berhubung kerjasama dengan Starbucks tidak akan membawa sebarang manfaat kepada negara, sambil memaklumkan bahawa kementeriannya tidak akan membatalkan kerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat itu meskipun menerima kritikan hebat.
Kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Starbucks, yang dilancarkan awal bulan ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pantas menerima kecaman daripada beberapa pihak.
Mereka yang membantah keputusan kerajaan itu mengingatkan Tiong mengenai boikot berterusan terhadap Starbucks berikutan dakwaan hubungan jenama tersebut dengan Israel dalam konteks konflik Gaza.
Kontroversi mengenai penglibatan Starbucks dalam kempen pelancongan nasional itu turut berlaku serentak dengan isu hidangan alkohol di majlis makan malam industri pelancongan yang dihadiri oleh Tiong baru-baru ini.






