Majlis Menteri Besar (SG4) – yang dianggotai negeri-negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menegaskan bahawa kesilapan lampau, khususnya berkaitan perjanjian royalti minyak, tidak boleh berulang dalam pengurusan unsur nadir bumi (REE).
Majlis itu sekali lagi menegaskan bahawa segala sumber mineral nadir bumi yang terdapat dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan gabungan empat negeri ini mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara, SG4 komited untuk memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
SG4 juga menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia.
Namun, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.
“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
“Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE. Pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” tambahnya.

Dalam pada itu SG4 berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.
Tegasnya, hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.
“SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh empat menteri besar SG4 iaitu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Pada 26 Okt lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas yang antara lain menyatakan bahawa Malaysia tidak akan mengenakan kuota eksport terhadap mineral kritikal dan unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Artikel 6.2 perjanjian tersebut turut menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan syarikat AS dalam penerokaan mineral kritikal serta memudahcarakan bekalan REE kepada AS.
Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Fadzil Hassan menyuarakan kebimbangan berhubung perjanjian tersebut, dengan menyatakan sumber REE negeri mungkin dieksploitasi tanpa pampasan yang adil – seperti mana isu royalti petroleum.
“Rakyat Kelantan masih menanggung luka akibat kehilangan hasil royalti petroleum. Itu adalah ketidakadilan terbesar yang telah dilakukan terhadap rakyat dan kerajaan negeri Kelantan. Adakah sejarah dan episod luka ini akan berulang?
“Kami tidak akan membenarkan REE menjadi ‘petroleum kedua’. Negeri ini tidak boleh sekali lagi hanya menjadi penonton kepada kekayaan sendiri sedangkan orang lain yang menikmatinya,” katanya.






