Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berjanji akan meneruskan legasi kepimpinan mantan bekas pengerusi, Saifuddin Abdullah, selepas dia dilantik mengetuai Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Dia menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar dan tanggungjawab berat untuk memastikan gabungan pembangkang kekal berada di landasan terbaik, menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Amanah ini merupakan suatu tugas yang berat bagi meneruskan kepimpinan Saifuddin Abdullah, yang telah berjaya meletakkan PN Pahang pada kedudukan yang amat baik.
“Sudah tentu, amanah ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa dokongan dan kerjasama seluruh kepimpinan PN Pahang.
“Menyedari hakikat ini, saya mengambil pendekatan untuk mendapatkan pandangan semua pihak yang berkaitan sebelum mengatur langkah dan strategi bagi meneruskan kecemerlangan PN yang telah diasaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Isnin, 27 Oktober lalu, Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, memberitahu, Saifuddin tidak lagi mengetuai gabungan berkenaan di Pahang.

Penukaran itu dibuat hanya beberapa hari selepas Saifuddin menjadi pemimpin terbaru yang mendesak agar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Bersatu sudah dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti dan dikaitkan dengan gerakan untuk mengetepikan Muhyiddin.
Tuan Ibrahim yang juga ketua pembangkang di DUN Pahang tidak mengulas mengenai perpecahan dalaman Bersatu itu tetapi berkata, sebelum merangka strategi baharu, dia telah mengadakan beberapa perbincangan awal dengan pimpinan utama PN negeri, termasuk Saifuddin serta Abdul Khalib Abdullah, pengerusi Bersatu Pahang.
Katanya, Pertemuan bersama Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, pula dijadual diadakan hujung minggu ini.

“Saya mengambil pendekatan untuk mendapatkan pandangan semua pihak yang berkaitan sebelum mengatur langkah dan strategi bagi meneruskan kecemerlangan PN yang telah diasaskan sebelum ini,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan semasa PN Pahang, Tuan Ibrahim menegaskan gabungan itu kini berada pada tahap terbaik, dengan pelbagai program bersama parti komponen yang terus memperkukuh hubungan akar umbi.
Antara program terbaru ialah Hogah Jelai, yang menurut beliau telah mencetuskan “kegusaran di pihak lawan”.
Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Saifuddin atas kejayaannya membina asas kukuh bagi PN Pahang, dan berikrar untuk memperkukuh kedudukan gabungan itu sebagai “model perpaduan dan politik matang”.
“Saya yakin bahawa kerjasama erat dan kerja keras semua kepimpinan PAS, Bersatu serta rakan-rakan dari Gerakan dan MIPP akan memperkukuh kedudukan PN sebagai model perpaduan dan kekuatan politik yang matang,” katanya.
Dia juga menaruh harapan PN Pahang mampu mencapai kejayaan lebih gemilang pada pilihan raya umum akan datang, hasil kesinambungan dan perancangan kepimpinan sedia ada.

Bagaimanapun Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail sebaliknya menyifatkan program Hogoh Jelai anjuran PN itu menjadi senjata makan tuan.
Katanya, kerajaan negeri langsung tidak terjejas, sebaliknya PN Pahang pula berdepan masalah dalaman.






