
Selepas AWS, Tiba Giliran Microsoft Azure Pula Untuk Menghadapi Masalah Teknikal
Nazrin
Pada minggu lepas, perkhidmatan perkomputeran awanan Amazon Web Services telah terbengkalai dan menyebabkan sejumlah besar perkhidmatan internet global tergendala untuk berhari-hari. Isu tersebut masih dapat dirasakan sehingga hari ini, tetapi kini nampaknya tiba giliran Microsoft Azure pula untuk mengalami masalah yang sama.
Dalam notifikasi yang diperlihatkan oleh Microsoft Azure, mereka mengatakan bahawa isu tersebut berlaku kerana pertukaran konfigurasi dalaman yang tidak terduga, dan juga isu dengan perkhidmatan Domain Name Service (DNS).
Isu tersebut dilihat telah membelenggu sejumlah perkhidmatan Microsoft seperti Microsoft 365, Xbox Service dan Minecraft. Pelanggan-pelanggan terbesar yang terkesan dengan isu ini juga termasuklah bank Capital One, syarikat kopi Starbucks dan syarikat penerbangan Alaska Air.
Walaupun begitu, Microsoft juga telah mengatakan bahawa mereka telah membetulkan isu tersebut, dan kebanyakan perkhidmatan dalaman dan juga untuk pelanggan-pelanggan mereka telahpun diperbetulkan. Buat masa ini, ia dilaporkan bahawa hanya Microsoft 365 dilihat mungkin mempunyai masalah untuk diakses buat masa ini, dan sejumlah besar perkhidmatan Microsoft Azure juga sudah mula beroperasi secara berperingkat.
Microsoft akan terus meneliti perkhidmatan Azure untuk memastikan bahawa isu ini tidak berlaku lagi.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






