Gabungan kerajaan perpaduan Sabah kini berdepan musim pilihan raya dengan suasana tidak menentu dan ketegangan dalaman, dengan penganalisis memberi amaran bahawa tuntutan berlebihan PH dalam rundingan kerusi boleh menjejaskan kerjasama dengan GRS dan menjejaskan kredibiliti gabungan itu.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung berkata, pendekatan PH boleh memakan diri sekiranya prestasinya tidak sepadan dengan tuntutannya.
“PKR minta terlalu banyak kerusi. Tapi berapa banyak yang mereka mampu menang?
“Kalau prestasi mereka tidak memberangsangkan, ia boleh meninggalkan kesan negatif terhadap rakan-rakan yang berjuang bersama mereka dalam pilihan raya negeri,” katanya kepada Malaysiakini.
Lee berkata, tindakan komponen PH yang tergesa-gesa menuntut kerusi dan membuat pengumuman awal menunjukkan kelemahan gabungan itu dalam menyelaras gerak kerja mereka.
“DAP dan Upko (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu) sepatutnya mempertimbangkan untuk menggunakan logo GRS jika mengambil kira sentimen tempatan yang semakin kuat,” katanya sambil menambah pengundi kini lebih cenderung menyokong parti tempatan berbanding parti nasional.

Amaran itu dibuat ketika isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kembali hangat, yang mencetuskan semula desakan rakyat negeri itu untuk mendapatkan keadilan dan autonomi.
Pada 17 Oktober, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan negeri dan persekutuan menyelesaikan isu tuntutan tersebut dalam tempoh 180 hari — meliputi 48 tahun sejak semakan terakhir — melainkan kerajaan persekutuan memfailkan rayuan sebelum 16 November.
Penganalisis berpendapat, jika Putrajaya memutuskan untuk membuat rayuan, langkah itu akan menguji kredibiliti GRS dan sekutunya di peringkat pusat, serta menambah keraguan rakyat Sabah terhadap kerajaan perpaduan.
Difahamkan, GRS telah memuktamadkan formula dalaman untuk bertanding di 52 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 20 kerusi diserahkan kepada PH — namun susunan itu belum disahkan secara rasmi.
Walaupun begitu, beberapa parti sudah bergerak sendiri.
Upko mengesahkan akan bertanding dengan logo sendiri, manakala DAP masih menimbangkan keputusan itu — menjadikan PKR dan Amanah masih aktif bergerak atas nama PH.

Pada Isnin lalu, Amanah menjadi parti pertama menamakan calon, dengan Julpikar Ab Mijan diumumkan sebagai calon bagi kerusi Sulabayan — kawasan kubu kuat Presiden Warisan, Shafie Apdal.
PKR dijangka mengumumkan calon pada 9 November, tarikh sama dengan Umno.
Pertindihan tuntutan kerusi
Di beberapa kawasan, berlaku pertindihan tuntutan kerusi.
Di Tanjung Aru, DAP (Phoong Jin Zhe), Upko (Dennison R Indang) dan Umno (Reduan Aklee) dilihat mengintai kerusi sama dan berdepan penyandang kerusi dari Warisan, Junz Wong.

Di Darau, Upko (Fardy Bungga) dan Setiausaha Agung GRS (Razali Razi) sedang menggerakkan kempen masing-masing.
Di Bandau, calon PKR (Zaidi Jaitil) dijangka bertembung calon GRS (Redonah Bahanda), yang turut menarik minat gerakan calon bebas pimpinan Verdon Bahanda.
Manakala di Sindumin, bekas Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, dijangka mewakili PKR menentang calon GRS, Yusof Yacob.
Lee berkata, pertindihan ini menunjukkan kurangnya kesefahaman dalam gabungan tersebut.
“PH sudah membuat terlalu banyak tuntutan dalam rundingan, dan ini boleh menimbulkan tanggapan bahawa blok perpaduan Sabah lebih mengutamakan politik nasional daripada kepentingan negeri sendiri,” katanya.
Gabungan rapuh dan risiko sabotaj dalaman
Penganalisis strategi politik, Tony Paridi pula berkata, keadaan ketika ini menunjukkan gabungan yang rapuh dan cenderung ke arah pertandingan sesama sendiri, yang akhirnya boleh membawa kepada sabotaj dalaman antara GRS dan PH, sekali gus menguntungkan pihak lawan.
“Dengan perkembangan menjelang hari penamaan calon, ia memberi isyarat bahawa rundingan kerusi masih belum selesai dan akhirnya akan membawa kepada pertandingan sesama sendiri,” katanya.
Paridi menjangka PKR dan Upko — kedua-duanya komponen PH — mungkin sengaja berbuat demikian untuk menambah jumlah kerusi yang mereka tandingi.
“Bagi parti lain seperti STAR (Parti Solidariti Tanah Airku), KDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat) dan Warisan, situasi ini boleh menarik pengundi untuk beralih sokongan daripada gabungan GRS–PH atau PH–BN kerana keyakinan awam semakin terhakis dan imej politik gabungan dilihat lebih berasaskan perebutan jawatan daripada prinsip,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia turut memberi amaran bahawa sabotaj dalaman boleh berlaku apabila puak-puak dalam gabungan itu berebut pengaruh, sekali gus menjejaskan perpaduan dan berisiko kehilangan kerusi penting.






