Muda menggesa Putrajaya menghentikan “putaran PR” (public relations spin) berhubung perjanjian dagang terbaru dengan Amerika Syarikat dan menyatakan perkara itu secara jujur — sebagai perjanjian penjajaran pasaran, bukan timbal balik sebenar.
Walaupun memuji usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapatkan perjanjian yang lebih menguntungkan antara Malaysia dan AS namun Setiausaha Muda, Andre Teow, berpendapat perjanjian itu mengandungi kelemahan besar.
“Kami memuji perdana menteri kerana mendapatkan pengecualian tarif, serta mempertahankan dasar bumiputera dan standard halal.
“Tetapi walaupun sebahagian perjanjian menunjukkan kemajuan, kita mesti menyuarakan kelemahan besar yang mengancam kedaulatan Malaysia.
“Sebut saja perjanjian ini apa adanya — perjanjian penjajaran pasaran, bukan timbal balik sebenar. Rakyat mesti diberitahu perkara sebenar, bukan gimik PR (komunikasi awam),” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurut Teow, perjanjian berkenaan tidak benar-benar saling menguntungkan kerana Malaysia perlu mengurangkan tarif terhadap hampir semua barangan AS serta menerima standard kawal selianya, sedangkan AS mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia dan hanya memberi pengecualian apabila ia mahu.
Katanya, komitmen Malaysia pula bersifat mengikat, tetapi AS mempunyai lebih banyak kelonggaran untuk mengubah dasar pada bila-bila masa mengikut kehendak Washington.
Selain itu, beliau mendakwa Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut menggadaikan autonomi negara kerana menyekat keupayaan Malaysia merangka dasar luar dan dasar ekonominya sendiri tanpa campur tangan.
“Jika AS menyasarkan mana-mana negara atas alasan ‘keselamatan negara’, Malaysia dipaksa untuk mengikut sekatan mereka atau berdepan akibatnya.
“Klausa ini menjejaskan keupayaan kita untuk menetapkan dasar luar dan ekonomi secara bebas, memaksa Malaysia memilih pihak dalam konflik yang bukan urusan kita,” dakwanya.
Artikel 5.1 menetapkan bahawa jika AS mengenakan tarif, kuota, larangan atau langkah dagangan lain terhadap mana-mana negara bagi melindungi keselamatan ekonomi dan nasionalnya, Malaysia perlu mengambil tindakan sama atau bersetuju dengan garis masa untuk berbuat demikian.
Semakan Parlimen sepenuhnya
Muda menuntut semakan Parlimen secara menyeluruh dan ketelusan sepenuhnya terhadap perjanjian itu serta menggesa kerajaan tidak berdalih.
“Mesti ada perbahasan Parlimen yang terbuka mengenai semua lampiran dan jadual sebelum pelaksanaan. Rakyat Malaysia berhak tahu apa sebenarnya yang dipertaruhkan.
“Kerajaan juga mesti menjelaskan bila dan bagaimana Malaysia harus mematuhi keputusan AS, dan sama ada kita boleh menolak jika kepentingan negara terancam,” kata Teow lagi.
Dia menegaskan Muda bukan anti-Amerika tetapi menuntut hubungan yang benar-benar bersifat setara dan saling menghormati.
“Kami bukan anti-Amerika dan menyokong kerjasama bersama. Namun, kerjasama sebenar memerlukan rasa hormat, bukan menunduk.
“Malaysia mesti kekal sebagai tuan kepada masa depannya sendiri, bebas membuat pilihan dasar luar dan ekonomi,” katanya.
Terdahulu hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan Artikel 5.1 memperincikan tindakan dalam klausa itu bertujuan “menangani kebimbangan keselamatan ekonomi atau nasional yang dikongsi bersama”.
Katanya Artikel 5.1 hanya terpakai jika perkara itu melibatkan kepentingan keselamatan ekonomi atau nasional kedua-dua negara, Malaysia dan AS.
Sebelum ini, bekas menteri perdagangan antarabangsa, Azmin Ali memberi amaran bahawa perjanjian dagang baharu Malaysia-AS boleh menjejaskan hubungan negara dengan China, kerana klausa berkenaan berpotensi memaksa Putrajaya untuk berpihak kepada Washington dalam menghadapi musuh ekonomi Beijing.






