Kerajaan Kelantan mendesak kerajaan persekutuan membentangkan isi penuh perjanjian dagang antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Parlimen serta di Majlis Tanah Negara bagi memastikan ketelusan serta menghormati hak negeri-negeri pengeluar sumber.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, berkata perjanjian yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur itu menimbulkan kebimbangan besar, khususnya berkaitan sektor mineral kritikal seperti unsur nadir bumi (REE) yang menjadi sumber ekonomi utama negeri.
“Kandungan perjanjian tersebut boleh memberi implikasi besar kepada negeri-negeri pengeluar REE seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang memiliki sumber di daratan dan berada sepenuhnya bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut dan tertakluk kepada ‘peraturan tiga batu nautika’, REE terletak di daratan. Maka ia hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan.

“Klausa perjanjian yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika Syarikat boleh menjejaskan kuasa negeri untuk menapis pelabur atau menghadkan eksport bahan mentah bagi meningkatkan nilai tambah tempatan.
“Adakah langkah negeri menapis pelabur akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa? Ini bukan soal politik, ini soal kedaulatan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung Ahad lalu, Malaysia dan AS telah memeterai perjanjian komprehensif bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan terhadap eksport barangan perindustrian AS seperti bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian antaranya tenusu, ayam itik dan beras.

Sebagai timbal balas, AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus terhadap barangan Malaysia manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar di bawah kategori rakan kongsi sejajar.
Malaysia turut bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata Kelantan memiliki deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit. Justeru, katanya, hasil bumi tersebut mesti dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan bukan ditentukan pihak luar.
“Saya kecewa negeri-negeri pengeluar tidak dirunding sebelum perjanjian berbilion ringgit itu dimeterai walaupun ia melibatkan sumber negeri.

“Ini menyimpang daripada semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, dasar negeri menetapkan REE mesti diproses semaksimum mungkin di Kelantan dan bukan dieksport mentah ke luar negara untuk membangunkan industri huluan dan hiliran, seterusnya membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran anak muda tempatan.
“Kita mencari rakan pelaburan yang adil dan kerjasama yang membawa keuntungan maksimum kepada rakyat. Bukan mereka yang hanya mahu mengaut hasil bumi dan meninggalkan sisa.
“Kelantan tidak menolak pelaburan luar tetapi ia mesti disertai rasa hormat terhadap kedaulatan negeri serta dilakukan secara telus tanpa menjadikan sumber negeri sebagai cagaran politik atau bahan tawar-menawar diplomatik.

“Walaupun hak menandatangani perjanjian antarabangsa adalah hak persekutuan, sumber dan ‘subject matter’-nya ialah hak negeri. Negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara tentang sumbernya sendiri,” katanya.
Fadzli berkata kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak berkenaan “dengan hujah dan prinsip” sambil yakin rakyat Kelantan akan terus bersama dalam perjuangan menegakkan keadilan terhadap hasil bumi negeri itu.






