PETALING JAYA: Inisiatif yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sahaja akan memperkukuh rantaian bekalan serantau, tetapi juga memberi peluang kepada perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk terlibat dalam perdagangan rentas sempadan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, penekanan terhadap pendigitalan, peralihan hijau dan daya tahan ekonomi sejajar dengan agenda transformasi komuniti perniagaan di rantau ini.
“Hasil daripada sidang kemuncak ini menandakan satu bab baharu dalam usaha pengintegrasian ekonomi ASEAN yang lebih inklusif, digital dan mampan.
“Antara pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 (ACFTA 3.0), penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk PKS dalam Peralihan Hijau (MEGA) serta penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA),” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga mengalu-alukan keputusan ASEAN untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli baharu keluarga ASEAN yang merupakan langkah bersejarah ini mencerminkan komitmen berterusan ASEAN terhadap perpaduan dan kemakmuran bersama.
“Seiring dengan semangat keterangkuman ini, ASEAN SME Caucus, satu inisiatif yang diterajui sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam memastikan PMKS terus mendapat tempat dalam agenda serantau.
“Melalui platform ini, PMKS di Malaysia dan ASEAN akan menyokong usahawan di Timor-Leste melalui perkongsian pengetahuan, bimbingan dan peluang pasaran, di samping memperkukuh kerjasama rentas sempadan antara persatuan dan dewan perniagaan di seluruh ASEAN,” ujarnya.
Sementara itu, kejayaan penganjuran sidang kemuncak ini di bawah pimpinan Malaysia membuktikan peranan kepimpinan negara dalam memperkukuh ASEAN yang lebih kukuh, adil dan saling terhubung.
“Samenta akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, termasuk melalui ASEAN SME Caucus bagi memastikan komitmen yang dicapai dapat diterjemahkan menjadi manfaat nyata buat PMKS.
“Ini termasuk perluasan akses pasaran, kesiapsiagaan digital, pengeluaran yang lebih hijau dan eksport yang lebih berdaya tahan,” jelasnya. – UTUSAN






