KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Saerah Tarudin berharap kejadian menimpa anaknya, Amad Dayyan dalam pertandingan Talk To My Manager (TTMM) baru-baru ini tidak terus diperkatakan atau dijadikan isu.
Saerah sekadar berharap kejadian itu dijadikan pengajaran dan tidak lagi dipanjang-panjangkan.
“Saya kalau boleh tak mahu lagi mengulas mengenai perkara ini kerana khuatir mengundang spekulasi dan andaian.
“Alhamdulillah Amad sekarang semakin okey. Terima kasih buat yang prihatin dan mendoakan.
“Apa yang berlaku kepada Amad, biarlah berlalu. Saya mahu pandang ke depan dalam merancanakan masa depan anak-anak saya,” katanya.
Saerah berkata demikian ketika ditemui sempena sidang media dan pelancaran album baharu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Gema Bumantara semalam.
Insiden menimpa Amad, yang rebah ketika pertandingan anjuran Astro itu masih diperkatakan segelintir netizen yang dalam masa sama mengaitkan kejadian itu dengan unsur sihir dan khianat.
Kata Saerah, kejadian itu tidak wajar terus diperkatakan dan seharusnya dibiarkan berlalu.
“Kita tak tahu apa berlaku kepada diri kita. Sebab itu kita kena selalu bersedia kerana dalam dunia ini, kita tak tahu niat orang terhadap kita.
“Apa sahaja yang kita hadapi, janganlah kita menyimpan iri hati atau perasaan benci.
“Kita patut bersyukur kepada Allah dan doa kepadaNya agar kita sentiasa dilindungi.
“Kejadian yang menimpa Amad kita jadikan iktibar sebagai persediaan di masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu Saerah juga memaklumkan aktiviti seni Amad berjalan seperti biasa seiring rutin persekolahannya.
“Aktiviti nyanyian masih berjalan cuma kena sesuaikan dengan jadual persekolahannya. Kalau tak ganggu pelajaran, kita akan pertimbangkan tawaran nyanyian.
“Cuma buat masa ini tiada perancangan untuk Amad memasuki mana-mana pertandingan.
“Sekarang Amad perlu bertenang kerana dia baharu sahaja selesai bertanding dalam TTMM. Insya-Allah saya ada perancangan lain untuk dia. Saya harap doa daripada semua orang,” kongsinya.- UTUSAN






