Malaysia Oversight

Keputusan rujuk Hajiji atas kesalahan hina mahkamah 16 Nov

By MkiniBM in October 29, 2025 – Reading time 2 minute
Keputusan rujuk Hajiji atas kesalahan hina mahkamah 16 Nov


Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menetapkan 17 Nov ini untuk mendengar dan memutuskan permohonan pemberi maklumat Albert Tei bagi merujuk Ketua Menteri sementara Sabah Hajiji Noor atas kesalahan menghina mahkamah.

Ini susulan dakwaan bahawa Hajiji mengarahkan pihak imigresen Sabah untuk menghalang Tei daripada memasuki negeri itu, yang menyebabkan dia gagal menghadiri perbicaraan kes rasuah di mahkamah minggu lalu.

Menurut transkrip mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, tarikh tersebut ditetapkan oleh hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir pagi ini selepas mendengar permohonan ex-parte yang dikemukakan melalui Messrs Chin Jingulam & Associates.

“Bolehkah kita adakan (pendengaran permohonan) pada jam 10 pagi, 17 November untuk mendengar hujahan? Jika boleh, kita akan buat keputusan pada hari yang sama,” kata Zaini semasa sesi hari ini.

Hakim itu juga memerintahkan peguam Tei mengemukakan hujahan bertulis mereka menjelang tarikh yang sama.

Pendengaran ini ditetapkan sebelum Tei dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah terhadapnya pada 28 November.

Untuk rekod, tarikh pendengaran ini kebetulan berlangsung ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.

8735689193e1c9496253e292c7b351fa

Ahli perniagaan itu memfailkan permohonan untuk merujuk Hajiji atas kesalahan menghina mahkamah selepas dia dihalang oleh Jabatan Imigresen Sabah untuk memasuki negeri itu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 23 Nov.

Tei menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke negeri Borneo itu untuk menghadiri sebutan kes rasuah terhadapnya di mahkamah Kota Kinabalu pada hari berikutnya.

Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof, pegawai terlibat menghalang Tei kerana sistem menunjukkan dia mempunyai ‘Sabah Alert Notice’ aktif yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, dan hanya dibenarkan masuk sekiranya diperlukan untuk hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Sitti Saleha mendakwa Tei tidak memberitahu pegawai bertugas di KKIA bahawa dia mempunyai kes mahkamah, sebaliknya menyatakan dia ingin memasuki Sabah untuk melancong dan bertemu rakan-rakannya. Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Tei dan peguamnya, Mahajoth Singh.

Ini merupakan kali kedua Tei dihalang daripada memasuki Sabah selepas 22 Sept apabila dia dilarang berbuat demikian ketika tiba di KKIA untuk menghadiri kes mahkamahnya, dipercayai kerana sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri.

Bagaimanapun, insiden September itu diselesaikan selepas pegawai imigresen bertugas di KKIA memberikan kelulusan bersyarat supaya Tei dibenarkan memasuki Sabah selama dua hari untuk menghadiri perbicaraannya di mahkamah.

Tei menghadapi dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Kota Kinabalu, di mana dia didakwa menawarkan rasuah kepada Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan Sindumin, Yusof Yacob.



Source link