Pada pelancaran Samsung Galaxy S25 FE dan siri Galaxy Tab S11 yang lepas Samsung turut melancarkan TWS terbaru mereka iaitu Samsung Galaxy Buds3 FE. Ini adalah model TWS yang paling rendah daripada Samsung jika dibandingkan dengan Buds3 Pro dan Buds 3. Namun dari segi harga jualannya ia bukan berada di kategori mampu milik untuk pasaran TWS dan adakah harga yang ditawarkan ini sesuai dengan prestasi keseluruhan Buds3 FE ini?

Spesifikasi
| Samsung Galaxy Buds3 FE | ||
|---|---|---|
| Jenis | TWS dalam telinga | |
| Pemandu | Satu pemandu audio | |
| Mikrofon | 6 mikrofon | |
| Bateri | 8.5 Jam/30 jam tanpa ANC | 6 Jam/24 jam dengan ANC |
| Port pengecas | USB-C | Pengecasan nirwayar |
| Pengecasan nirwayar | Ya | |
| CODEC | AAC, SBC, SSC(Samsung Seamless Codec) | |
| Sistem operasi disokong | Semua | |
| Sokongan pembantu maya | Ya/Bixby | |
| Pad sesentuh | 2X sesentuh | 2X Tekanan |
| Kemampuan kalis air | IP54 | |
| Bluetooth | 5.4 | |
| Harga Jualan | RM 499 |
Rekaan
Samsung Galaxy Buds3 FE ini menggunakan rekaan yang lebih kurang sama seperti abangnya iaitu Buds3 Pro dengan tangkai yang bersegi ini. Rekaan ini bagi saya agak lain dari lain membuatkan senang untuk mengenalpasti Buds3 FE ini dari jauh. Ditambah pula dengan pilihan warna yang minimal tapi tetap nampak bergaya iaitu Grey dan Hitam.

Selain itu, saya turut sukakan dengan saiz pada Buds3 FE ini disebabkan sebelum ini saya menggunakan Nothing Ear (3) yang besar sedikit berbanding Buds3 FE ini. Dengan saiz yang kecil ini juga amat mudah untuk membuka bekas pengecasannya dengan satu tangan sahaja. Keseluruhan binaan Buds3 FE ini menggunakan plastik yang menjadikannya agak ringan namun terasa agak murah.

Penutup bekas pengecasan menggunakan plastik lutsinar yang menampakkan fon telinga di bahagian dalam. Terdapat satu dot lampu LED untuk menunjukkan status sambungan atau bateri. Pada bahagian bawah hanya menempatkan butang untuk reset dan port pengecasan USB-C.

Dari segi ketahanan, sebagai TWS dalam kategori yang lebih murah berbanding abangnya ia hanya mempunyai piawaian IP54 untuk fon telinga menjadikan TWS ini tahan dari peluh ketika anda sedang bersukan atau terkena hujan sedikit.
Perkara yang saya kurang suka pada Buds3 FE ini adalah ia mudah terjatuh dari jari saya ketika mengambil dari bekas pengecasannya disebabkan penggunaan tangkai yang bersegi ini. Pada awal penggunaan pula, kawalan pada fon telinga ini agak mengelirukan saya kerana saya sering picit pada tempat yang salah namun setelah beberapa hari baru saya terbiasa dengan kawalannya.
Kualiti Audio
Samsung Galaxy Buds3 FE ini menggunakan satu sahaja pemandu audio untuk kedua-dua belah fon telinga. Kali pertama mengetahui perkara ini agak mengejutkan saya kerana kebiasaan TWS yang pernah saya pakai sekurang-kurangnya menggunakan dua pemandu audio. Buds3 FE ini juga menggunakan codec ciptaan Samsung sendiri iaitu SSC. Jadi bagaimanakah kualiti audio yang terhasil dari Buds3 FE ini?

Berita baik untuk penggemar bass yang kuat, Buds3 FE ini memang dapat puaskan hati anda. Saya agak terkejut dengan penghasilan bass yang agak kuat pada Buds3 FE ini kerana menyangkakan bunyinya akan lebih stabil dan seimbang. Boleh dikatakan TWS ini memberikan fokus kepada bunyi bass yang agak dalam.

Pada bunyi di frekuensi pertengahan boleh terasa ia sedikit tenggelam dan mendap dengan bass yang dihasilkan. Bunyi gitar terasa kurang memuaskan kerana dibayangi oleh bunyi gitar bass dan drum yang lebih kuat. Vokal penyanyi juga kadangkala terasa kurang seimbang terutamanya untuk penyanyi lelaki namun jika penyanyi mempunyai ‘key’ yang tinggi ia kedengaran lebih merdu kerana lebih seimbang dengan bunyi instrumen.

Mod pembatalan hingar pada Buds3 FE ini juga berada ditahap baik-baik sahaja, tidak terlalu cemerlang dan tidak terlalu teruk. Bunyi bising dalam LRT Kelana Jaya masih lagi boleh dengar dan boleh terasa kesan vakum sedikit apabila menggunakan mod ini dalam jangka masa yang lama.
Di dalam persekitaran yang tidak terlalu bising seperti di pejabat, mod ANC ini masih lagi boleh digunakan. Mod tembus atau Ambient pula boleh dipuji untuk Buds3 FE ini kerana bunyi persekitaran kedengaran sangat jelas dan natural seakan tidak memakai fon telinga ini.
Aplikasi
Seperti TWS yang lain, Samsung Galaxy Buds3 FE ini boleh digunakan bersama aplikasi Galaxy Wearable. Aplikasi Galaxy Wearable kelihatan sangat minimal dan kemas namun ia terasa sangat biasa dengan beberapa tetapan asas. Tiada apa-apa ciri tambahan yang menarik boleh digunakan bersama Buds3 FE ini namun untuk saya cukup ada Equalizer yang boleh dibentuk sendiri untuk hasil bunyi yang lebih sepadan dengan citarasa saya.

Bateri
Kapasiti bateri sebesar 53mAh dimuatkan dalam fon telinga dan 515mAh untuk bekas pengecasannya. Ketahanan bateri untuk Buds3 FE ini sangat baik sepanjang tempoh penggunaan. Dengan ANC, ia boleh bertahan sehingga 4 jam secara berterusan dan mampu mencapai sehingga 18 jam bersama dengan bekas pengecasan. Saya bukanlah seorang yang menggunakan ANC setiap masa jadi ia dapat bertahan dalam beberapa sebelum perlu dicas semula.

Dari segi pengecasan, Buds3 FE ini tiada sebarang sokongan pengecasan nirwayar atau pengecasan pantas berwayar. Pihak Samsung juga tidak menyediakan kabel pengecasan di dalam kotak pembelian. Walaupun tiada sebarang sokongan untuk pengecasan pantas, ia bukanlah satu isu yang besar untuk mengecas Buds3 FE ini.
Apa Ada Dalam Kotak
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dengan setiap pembelian Samsung Galaxy Buds3 FE.
- 1x Set Galaxy Buds3 FE
- 2x Pasang putik silikon tambahan.
- 1x Manual
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Buds3 FE ini memberikan pengalaman penggunaan yang baik-baik sahaja. Ia menggunakan rekaan yang sama pada Buds3 Pro namun dengan bahan binaan yang terasa agak murah. Kualiti audionya juga bukanlah di tahap yang terbaik untuk harga jualannya dan dalam julat harga yang sama terdapat beberapa TWS lain yang mungkin lebih baik. Samsung Galaxy Buds3 FE ini mungkin lebih tertumpu untuk pengguna peranti Samsung sesuai dengan namanya (Fan Edition) kerana ketiadaan Google Fast Pair untuk peranti Android yang lain dan tidak terlalu mesra dengan peranti Apple.

Pro
- Rekaan sama seperti Buds3 Pro.
- Saiz yang kecil, ringan dan mudah digunakan.
- Pelbagai ciri seperti audio 360 darjah dan mod terjemahan.
- Pada sesentuh memberikan pelbagai kawalan yang diperlukan.
- Mod tembus yang baik.
- Hayat bateri yang baik untuk kelasnya.
Kontra
- Tidak disokong sepenuhnya di iOS.
- Harga jualan yang agak mahal.
- ANC mempunyai sedikit kesan vakum.
- Bahan binaan plastik yang mudah calar.
- Kabel pengecas tidak diberikan.







