Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menghentikan segera amalan menawarkan diskaun terhadap saman trafik.
Gesaan itu, termasuk potongan 70 peratus yang diumumkan bagi tempoh 1 November hingga 30 Disember 2025.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata tawaran diskaun sebegitu bukan sahaja memperlekehkan undang-undang, malah menjejaskan kredibiliti agensi penguatkuasaan.

“Apabila diskaun besar diberikan berulang kali, ia menghantar mesej berbahaya bahawa melanggar undang-undang tidak membawa akibat serius.
“Pesalah boleh tunggu diskaun seterusnya untuk bayar saman pada kadar jauh lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohideen, pendekatan itu bukan saja menghakis penghormatan terhadap undang-undang tetapi juga menjejaskan keselamatan jalan raya.
Tambahnya, peraturan lalu lintas diwujudkan untuk melindungi nyawa, mencegah kemalangan serta mendidik pemandu menjadi lebih bertanggungjawab — namun tawaran diskaun tersebut bertentangan dengan matlamat itu.
“Pemandu yang patuh undang-undang dan membayar saman tepat pada masanya menjadi mangsa apabila pesalah tegar diberi ganjaran dengan potongan harga.
“Ia tidak adil dan menumbuhkan budaya tidak bertanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Dia menegaskan kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dengan memastikan hukuman dilaksanakan secara adil dan konsisten, tanpa sebarang keistimewaan.
Fokus utama, kata presiden CAP itu, harus diberikan kepada penguatkuasaan berkesan, pendidikan keselamatan jalan raya, dan pemungutan denda yang cepat, bukan dengan menawar diskaun yang menormalisasi pelanggaran undang-undang.
“Kerajaan mesti hentikan amalan tidak produktif ini dan pulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem penguatkuasaan negara.
“PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula perlu memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan bertindak tegas terhadap pesalah,” katanya.






