Malaysia Oversight

10 didakwa buli siber, keluar kenyataan seksis kepada Brigitte Macron

By Utusan in October 29, 2025 – Reading time 2 minute
10 didakwa buli siber, keluar kenyataan seksis kepada Brigitte Macron


PARIS: Perbicaraan terhadap 10 individu yang didakwa membuli isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron secara dalam talian dengan kenyataan berunsur seksis bermula minggu ini di Paris.

Tertuduh didakwa menyebarkan dakwaan palsu mengenai jantina dan orientasi seksual Brigitte, selain mengeluarkan komen berniat jahat tentang perbezaan usia 24 tahun antara beliau dan suaminya, Emmanuel Macron.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Menurut media Perancis, antara yang akan dibicarakan ialah seorang pegawai , pemilik galeri dan guru.

Dua daripadanya, wartawan bebas, Natacha Rey dan tukang tilik, Amandine Roy pernah disabitkan kesalahan fitnah tahun lalu selepas mendakwa Brigitte tidak pernah wujud sebaliknya abangnya, Jean-Michel Trogneux menukar jantina dan mengambil identitinya.

Namun, mahkamah rayuan kemudian membebaskan mereka, dengan alasan kenyataan itu tidak memenuhi takrifan fitnah. Brigitte dan abangnya kini merayu keputusan tersebut.

Teori konspirasi yang mendakwa Brigitte ialah wanita transgender mula tersebar sejak Emmanuel memenangi penggal pertama sebagai Presiden pada 2017 dan semakin mendapat perhatian di AS kebanyakannya digerakkan oleh pempengaruh sayap kanan, Candace Owens. 

Pada Julai lalu, pasangan Macron memfailkan saman terhadap Owens dan peguam keluarga mereka, Tom Clare, memberitahu BBC, Brigitte berasa sangat tertekan dengan tuduhan itu, yang disifatkannya sebagai gangguan terhadap tugas Presiden.

Emmanuel pula berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan mempertahankan maruah dan menegaskan Owens menyebarkan maklumat palsu dengan niat jahat serta bersekongkol dengan tokoh sayap kanan.

Brigitte pertama kali bertemu suaminya ketika beliau mengajar di sekolah menengah tempat Emmanuel belajar. 

Pasangan itu berkahwin pada 2007, ketika Emmanuel berusia 29 tahun dan Brigitte 54 tahun.





Source link