Beberapa pakar secara umumnya bersetuju bahawa perjanjian Malaysia untuk mengeksport unsur nadir bumi (rare earth) ke Amerika Syarikat membawa manfaat ekonomi yang besar.
Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Centre for Business and Policy Research, Foo Lee Peng, berpendapat perjanjian perdagangan itu boleh menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pelaburan asing dalam bidang penapisan, pembuatan magnet dan penghasilan komponen.
“Ia menunjukkan hasrat Malaysia untuk naik ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai global dengan memanfaatkan kira-kira 16 juta tan simpanan nadir bumi yang dimiliki.
“Sebagai balasan, perjanjian dengan AS memberi jaminan peraturan yang lebih kukuh, lesen operasi yang lebih panjang, serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dasar mineral Malaysia,” katanya yang juga pensyarah kanan di Jabatan Ekonomi, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman.
Mendaki ke rantaian nilai global
Pada 26 Okt, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik, di mana syaratnya menghalang Malaysia daripada mengenakan sebarang kuota ke atas eksport mineral kritikal dan nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Foo berkata, perjanjian itu menandakan satu “evolusi strategik” dalam peranan Malaysia di peringkat rantaian nilai global.
“Negara kini bergerak melangkaui kedudukan tradisionalnya sebagai pangkalan pembuatan, untuk menjadi jambatan serantau yang menghubungkan potensi sumber Asia Tenggara dengan inovasi teknologi maju dari Amerika Syarikat,” katanya.
Dia menambah peranan baru Malaysia ini akan mempelbagaikan rangkaian bekalan global bagi unsur nadir bumi.
Pada masa sama, ia turut meningkatkan reputasi Asia Tenggara sebagai sumber mineral kritikal yang stabil dan lestari — membuka peluang baru dalam kerjasama teknologi, perkongsian inovasi dan pembangunan industri hijau di rantau ini.
Seorang lagi pakar ekonomi, Geoffrey Williams, pula menekankan manfaat dari segi kawal selia dan kebolehpercayaan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia.
“Anggaran nilai simpanan nadir bumi di Malaysia melebihi RM1 trilion, jadi ini adalah aset negara yang amat berharga dan mesti dibangunkan melalui kerjasama yang boleh dipercayai serta diawasi dengan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.
Tambahnya, langkah ini juga boleh mengurangkan rasuah dan memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia, ujar felo penyelidik jemputan Bank Negara Malaysia itu.
Perjanjian perdagangan bukan eksklusif
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, menjelaskan bahawa perjanjian perdagangan tersebut tidak memberi keistimewaan eksklusif kepada Amerika Syarikat, sebaliknya hanya membuka ruang sebagai pilihan yang jelas dan telus.
Lee, yang juga pengerusi Kaukus Parlimen bagi Mineral Kritikal, berkata rantaian bekalan akan lebih stabil apabila wujud kejelasan seperti ini.
Dia turut menyokong kenyataan Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, yang menegaskan bahawa Malaysia tidak menyerahkan kedaulatannya dalam perjanjian berkenaan.

Perjanjian itu dilihat sebagai satu tamparan kepada China, yang kini merupakan pelombong dan pemproses terbesar unsur nadir bumi — bahan penting untuk industri automotif, pertahanan dan teknologi tinggi AS.
Selain Malaysia, Thailand juga menandatangani perjanjian serupa dengan AS, yang dijangka dapat mengurangkan kebergantungan Amerika terhadap bekalan nadir bumi dari China.
Namun, selain urusan eksport, Artikel 5.2 dalam perjanjian itu turut mewajibkan Putrajaya mendapatkan pandangan Washington bagi sebarang pelaburan dalam sektor mineral kritikal dan infrastruktur strategik — sesuatu yang mungkin menjadi halangan kepada syarikat berpangkalan di China.






