KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen Malaysia untuk terus berinteraksi dengan semua negara, termasuk kuasa besar, tidak seharusnya ditafsir sebagai menyetujui sebarang tindakan melampau atau provokatif, khususnya di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan.
Menjawab soalan mengenai insiden terbaharu yang melibatkan pesawat tentera China melepaskan suar berhampiran pesawat pengawasan Australia di kawasan perairan yang dipertikaikan, beliau berkata Malaysia mengambil pendekatan berprinsip dengan menyuarakan kebimbangan selepas fakta disahkan sepenuhnya, sambil meneruskan dialog konstruktif dengan semua pihak terlibat.
“Sebaik sahaja kami mengenal pasti fakta, kami akan bangkitkan (isu) ini. Interaksi tidak bermakna kita membiarkan sebarang tindakan melampau. Pihak China tahu pendirian kita,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia Ketiga, di sini hari ini.
Anwar berkata walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia tetap mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dengan penuh kebijaksanaan dan keseimbangan.
“Dalam perbincangan saya secara peribadi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, saya tahu kami mewakili sebuah negara amat kecil dengan ekonomi yang agak kecil, namun kami tetap mewakili sebuah negara – dan kami mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat kami,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.
Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
