Saifuddin Abdullah berkata dia tidak mengetahui hasil siasatan forensik video seks yang mengaitkan bekas sekutunya dalam PKR, Mohamed Azmin Ali, ketika dia mengikut jejak langkah keluar parti — satu pendedahan yang dijangka memburukkan lagi hubungan kedua-duanya.
Saifuddin, yang tidak disambung jawatan pengerusi PN Pahang berkata dia hanya mengetahui mengenai laporan forensik video pada 2019 itu selepas dia dan 10 ahli Parlimen PKR lain mengikuti jejak Azmin menyertai Bersatu ketika krisis Langkah Sheraton pada 2020.
“Saya hanya tahu tentang hasil laporan forensik video itu lama kemudian,” katanya ringkas kepada Malaysiakini hari ini sambil enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara tersebut.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaannya baru-baru ini agar Azmin, yang juga setiausaha agung Bersatu, disingkirkan daripada jawatan tersebut bagi membersihkan parti daripada “masalah moral” yang menjejaskan reputasinya.
Gesaan Saifuddin itu, disiarkan melalui kenyataan bersama Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Puchong, Dungun, Jasin, dan Selayang, difahamkan merujuk kepada skandal video seks Azmin enam tahun lalu — isu yang kini dijadikan peluru dalam krisis dalaman Bersatu.
Saifuddin dan Azmin dahulunya dilihat sebagai sekutu politik rapat, dengan bekas menteri luar itu dianggap sebahagian daripada kem Azmin dalam PKR ketika tempoh pergolakan parti itu.
Kedua-duanya kemudian berpaling tadah semasa Langkah Sheraton selepas peletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, pada Februari 2020 — yang mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dan membuka laluan kepada kebangkitan Bersatu ke tampuk kuasa.
Selain Azmin, Saifuddin dan enam lagi ketua bahagian Bersatu turut menggesa presiden parti, Muhyiddin Yassin, supaya berundur dan memberi laluan kepada kepimpinan baru, serta mendesak supaya Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, digantikan.
Sebelum ini, Saifuddin turut menghadiri sidang media yang diadakan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang kini dipecat, Wan Saiful Wan Jan yang memberi bayangan terdapat perkembangan baru dalam siasatan video seks yang menyasarkan Azmin.
Wan Saiful, yang dipecat daripada Bersatu pada 14 Oktober lalu mendakwa, selepas konvensyen parti tahun lalu, dia menerima “maklumat baru” yang mengatakan siasatan forensik mengesahkan video tersebut adalah tulen.
“Saya menyatakan pandangan kepada beberapa individu bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak sesuai menjadi pemimpin dalam Bersatu,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.
Selain Wan Saiful, Bersatu turut memecat empat ketua bahagian parti serta menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk satu penggal.
Azmin sejak itu telah memberi amaran kepada para pemimpin dan ahli parti di semua peringkat supaya tidak berurusan dengan individu yang dikenakan tindakan disiplin oleh lembaga disiplin parti, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian merupakan pelanggaran serius terhadap perlembagaan dan kod etika parti.






