Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan program Hogoh Jelai anjuran Perikatan Nasional (PN) Pahang kira-kira seminggu lalu, menjadi senjata makan tuan.
Katanya, kerajaan negeri langsung tidak terjejas, sebaliknya PN Pahang pula berdepan masalah dalaman.
“Saya harap rakyat negeri Pahang yang berilmu, baca banyak buku… banyak pengetahuan, boleh membuat analisa dan boleh menilai hasrat sebenar mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pahang 2025 di Kuantan, hari ini.
Ditanya sama ada maksud ‘senjata makan tuan’ itu merujuk kepada program Hogoh Jelai, naib presiden Umno itu menjelaskan ia mungkin mempunyai kaitan.
“Boleh dikatakan begitulah… (program Hogoh Jelai) memakan diri dan dalam masa yang sama mempromosikan saya sebagai Adun Jelai dan saya jadi popular,” jelasnya.
‘Hogoh Jelai’ adalah program kempen PN untuk menawan Pahang yang membariskan pemimpin utamanya seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Program Hogoh Jelai berlangsung pada 19 Okt di Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands, menyaksikan kira-kira 3,000 penyokong PN hadir.

Terdahulu, mesyuarat pimpinan tertinggi PN malam tadi mengumumkan Pengerusi PN Pahang ditukar, dengan menyingkirkan anggota parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Penyingkiran Saifuddin itu diumumkan selepas dia mengkritik pemimpin tertinggi Bersatu, termasuk Muhyiddin.






