Ulasan ASUS Expertbook P5 (P5405) – Kembalinya Estetika Klasik Dengan Prestasi Moden
Nazrin
Kebelakangan ini kami telah mengulas tentang beberapa pilihan komputer ASUS ExpertBook yang merupakan penawaran kelas perindustrian dan korporat daripada ASUS yang juga merupakan penawaran siri komputer yang bukan sahaja menekankan prestasi korporat yang baik, tetapi juga kemudahan memperbaiki dan menaiktaraf komponen dengan sendiri.

Selain daripada ASUS ExpertBook PM3 dan ASUS ExpertCenter P500 SV yang telah kami ulas sebelum ini, mereka juga telah menawarkan komputer riba ASUS ExpertBook P5 terbaru untuk kami guna dan ulas. Ini merupakan komputer riba yang hadir dengan spesifikasi nipis dan ringan yang terbaik di pasaran,
Spesifikasi Dan Rekaan
| Nama Model | ASUS ExpertBook P5 (P5405) | |||
| Saiz Paparan | 14″, 2K (2560×1600) IPS LCD 16:10, | Bukan Sesentuh | ||
| Pemproses | Intel Core Ultra 7 258V 3.3GHz | (8 teras, 8 Bebenang) | Intel AI Boost 47 AI TOPS | |
| Cip Grafik | Intel Arc Graphics 140V (1.95GHz) | |||
| RAM | 32GB LPDDR5X | |||
| Muatan Dalaman | 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD | |||
| Kamera | Full HD | |||
| Palam I/O | 1x USB 3.2 Gen 1 Type-A | 2x USB 4.0 Thunderbolt 4 Type-C DP/PD | 1x HDMI 2.1 TMDS | 1x 3.5mm |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home | |||
| Sekuriti | Imbasan wajah dan cap jari dengan Windows Hello | |||
| Bateri | 63WHr | Pengecas 65W | ||
| Harga | RM6,859 |
Bermula dengan spesifikasi komputer riba ASUS ExpertBook P5 ini, ia dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V yang juga hadir dengan 32GB memori LPDDR5X terbina, dan juga storan SSD sebanyak 512GB yang boleh dinaiktaraf samada dengan menukar storan asal ataupun menambahkan storan tambahan sekiranya diperlukan.

Ia juga tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2560×1600 dan nilai kecerahan 400 nit, yang cukup cerah untuk pelbagai jenis kandungan yang anda mungkin akan mahu tonton dan lihat pada skrin ini.
Komputer riba ini juga dimuatkan dengan bateri 63Whr tiga sel yang menjanjikan jangka-hayat penggunaan komputer riba melangkaui 10 jam dengan satu pengecasan penuh.

Dari segi binaan, rangka komputer riba ini diperbuat daripada aluminum dan hadir dengan berat sekitar 1.27kg dan ini membuatkannya bukan sahaja sebuah komputer riba yang padat dan berkuasa, tetapi juga sangat ringan.
Untuk pilihan palam pula, ASUS ExpertBook P5 hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam audio 3.5mm. Tetapi lebih dari itu, keunikan komputer riba ini hadir melalui kebolehan pengguna untuk menaiktaraf komponen storan SSD dan juga menukar bateri dengan mudah sekiranya diperlukan.

Di bahagian bawah rangka komputer riba ini ada enam skru kepala Philips yang boleh dibuka dengan mudah, dan komponen-komponen storan dan bateri boleh diakses dengan mudah. Komputer riba ini juga merumahkan dua slot storan SSD, satu dengan saiz M.2 2280 yang lebih panjang dan satu slot SSD M.2 2230 yang lebih pendek.
Jika anda menanyakan mengapakah komponen memori tidak boleh ditukar seperti pada komputer riba ini, ia adalah kerana cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V (Intel Lunar Lake) yang digunakan sudahpun hadir dengan memori terbina secara terus didalam komponen CPU dan tidak boleh dinaiktaraf.
Pengalaman Pengguna
Jika anda sudah membaca ulasan komputer riba yang dikuasakan cip Intel Lunar Lake kami yang lain, seperti ASUS ZenBook S 14, Acer Swift 14 AI dan Honor MagicBook Art 14, saya boleh katakan bahawa dari segi prestasi perkomputeran, ASUS ExpertBook P5 ini adalah sama seperti komputer-komputer riba tersebut.

Dengan kuasa cip pemprosesan Intel Lunar Lake, pengguna tidak akan ada sebarang isu dalam melakukan tugasan produktiviti pejabat tidak kira di mana mereka berada. Digabungkan dengan pengesahan piawaian MIL-STD 810H, komputer riba ini juga hadir dengan kemampuan tahan lasak sama seperti yang diperlihatkan pada komputer riba ASUS ExpertBook PM3 yang telah kami ulas sebelum ini.

Komputer riba ini turut hadir dengan perisian produktiviti kecerdasan buatan terbina, iaitu ASUS AI ExpertMeet yang menambahkan mutu pengalaman sesi-sesi telesidang anda dengan ciri-ciri seperti pembatalan bunyi hingar pada mikrofon dan pembesar suara, sarikata terjemahan dan sebagainya.

Ada satu lagi perisian terbina pada komputer riba ini, iaitu MyASUS yang merumahkan semua keperluan mengemaskini perisian pemandu dan lain-lain. Ini memudahkan pengguna untuk mengemaskini semua perisian yang diperlukan kerana MyAsus akan menyemak sendiri sekiranya ada sebarang kemaskini baru yang perlu dimuat-turun.

Malah saya akan katakan bahawa prestasi keseluruhan komputer riba ini memiripi apa yang dilihat pada komputer riba ASUS ZenBook S 14, cuma dengan kebolehan bateri yang sedikit lebih rendah, kerana komputer riba ini dimuatkan bateri 63WHr, tetapi masih mengekalkan jangka-hayat bateri yang lebih panjang ini.

Kualiti paparan adalah agak baik sekiranya dipandang secara terus dari hadapan, tetapi panel IPS yang digunakan memperlihatkan sedikit kekurangan apabila ia dipandang dari sudut tepi ataupun atas. Dalam pada itu, sebagai sebuah komputer riba kelas produktiviti, saya sekurang-kurangnya mengharapkan ada pembaca kad SD ataupun MicroSD terbina pada komputer riba ini.

Kualiti video dan audio komputer riba ini juga pada pendapat saya cukup terang dan lantang dan tidak memerlukan tetapan kecerahan dan kelantangan diletakkan pada tahap maksima untuk menikmati kandungan kegemaran.

Dan jika anda mahu menaiktaraf storan dalaman ataupun menukar bateri, anda hanya memerlukan satu pemutar skru kepala Philips untuk membukanya, dan untuk mengakses ruangan-ruangan didalam yang diperlukan.
Skor Penanda-Aras
Ini adalah skor penanda-aras untuk komputer riba ASUS ExpertBook P5:
PCMark 10

CrystalDiskMark

Ada Apa Dalam Kotak
Ini adalah apa yang anda akan terima apabila membeli sebuah komputer riba ASUS ExpertBook P5
- 1x ASUS ExpertBook P5
- 1x Pengecas USB Type-C 65W
- 1x Manual penggunaan
Penutup
Siri ASUS ExpertBook dan ExpertCenter merupakan siri komputer riba yang sangat sesuai untuk kakitangan korporat yang mempunyai syarikat untuk memperoleh peranti-peranti komputer riba dan komputer desktop untuk mereka.

ASUS ExpertBook P5 khususnya adalah sebuah komputer riba yang sangat baik dari aspek produktiviti, prestasi dan daya ketahanan bateri, berterima kasih kepada cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V yang digunakan. Kelebihan model ini ada dengan banyak komputer riba di pasaran sekarang hadir melalui kebolehan untuk pengguna atau syarikat sendiri menaiktarafk komponen dalaman dengan mudah dan cepat.
Pro:
- Prestasi tiada kompromi untuk produktiviti dan riadah
- Jangka-hayat bateri panjang
- Tahan lasak
- Komponen dalaman yang mudah dinaiktaraf
Kontra:
- Tiada pembaca kad SD
- Sudut pandangan yang tirus
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






