Seorang ahli parlimen PKR dan pemimpin MCA hari ini secara berasingan mempersoalkan bagaimana komitmen berat yang dibuat oleh Malaysia di bawah perjanjian perdagangan yang baru ditandatangani dengan AS, boleh memberi manfaat kepada negara.
Berucap di Parlimen, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim memetik angka bahawa jumlah komitmen yang diperlukan daripada Malaysia untuk membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trilion.
Ini katanya, seolah-olah Malaysia hanya menyerahkan kekayaannya kepada Presiden AS Donald Trump.
“Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), apa sudah jadi? Beratus tahun negara kita mempertahankan, melawan Belanda, Portugis, Inggeris (sampai) kita merdeka.
“Tapi hari ini Trump datang, yang jahanamkan Gaza, bumi Palestin, kita sambut mereka, dan kita serah kekayaan kita.
“Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia pada Amerika,” katanya dalam ucapan yang berapi-api semasa membahaskan Belanjawan 2026.
Dia menambah bahawa dia tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya sekarang kerana bersuara, tetapi berkata dia mesti mendedahkan kritikannya.
RM1 trilion yang disebut oleh Hassan merujuk kepada komitmen oleh GLC Malaysia untuk membeli barangan AS, termasuk pesawat Boeing, gas asli cecair, arang batu, dan peralatan pusat data – sebagai tambahan kepada pelaburan yang akan dibuat oleh Malaysia di AS.
Ini telah digariskan dalam lampiran perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Anwar dan Trump pada Ahad lalu.
Sebagai balasan untuk pelbagai komitmen yang dibuat oleh Malaysia – AS akan menetapkan kadar tarif timbal balik pada 19 peratus sambil memberikan pengecualian kepada lebih 1,000 eksport Malaysia termasuk semikonduktor dan minyak sawit.
Sementara itu, Naib Presiden MCA Lawrence Low – yang menyatakan sentimen yang sama seperti Hassan – menuntut lebih banyak ketelusan daripada kerajaan mengenai perjanjian itu.
“Memandangkan skala perolehan dan kemungkinan terma yang tidak sama rata, kami menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian penuh dan dokumen berkaitan secepat mungkin.
“Adalah meyakinkan jika ini tertakluk kepada semakan teliti oleh Parlimen dan badan bebas untuk memastikan ketelusan penuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Dia juga memberi amaran bahawa faedah jangka pendek perjanjian perdagangan itu diatasi oleh kos jangka panjang, kerana terikat dengan komitmen perolehan mengehadkan fleksibiliti Malaysia untuk membentuk masa depan ekonominya mengikut keperluannya.
“Kedua, kita harus sedar tentang apa yang sesetengah pihak sebut sebagai ‘neo-kolonialisme digital’.
“Jika perolehan pusat data dan semikonduktor berskala besar datang dengan syarat yang ketat, Malaysia mungkin mendapati pilihannya dalam dasar ekonomi digital, pembangunan AI dan bidang teknologi lain semakin terhad.
“Lama kelamaan, ini boleh melemahkan kapasiti kita sendiri untuk inovasi teknologi dan kemandirian,” katanya juga.
Sebahagian daripada perjanjian perdagangan itu menetapkan bahawa Malaysia mesti berunding dengan AS sebelum memasuki sebarang perjanjian perdagangan digital dengan negara lain.






