Malaysia Oversight

Hassan Karim gesa kerajaan segera cukai ‘maha jutawan’

By MkiniBM in October 28, 2025 – Reading time 2 minute
Hassan Karim gesa kerajaan segera cukai ‘maha jutawan’


PARLIMEN l Ahli Parlimen Hassan Karim (Pakatan Harapan–Pasir Gudang) hari ini menggesa supaya segera mengenakan cukai keuntungan modal ke atas golongan jutawan di negara ini.

Dalam perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, Hassan berkata sudah tiba masanya melaksanakan langkah itu agar kekayaan tidak terus terkumpul di tangan segelintir pihak sahaja.

“Baru-baru ini saya baca kenyataan perdana menteri menyatakan adalah tidak bermoral jika kerajaan kenakan cukai pada rakyat miskin.

“Jadi dalam nafas yang sama, saya berhujah, maka adalah sepatutunya sampai pad awaktunya kerajaan mengenakan cukai kekayaan kepada orang-orang kaya ini, iaitu multimillionaire, maha jutawan, billionaire supaya jangan ada kekayaan ini berlegar di sekelliling beberapa kerat saja,” katanya.

Hassan turut mencadangkan agar ambang permulaan cukai keuntungan modal ditetapkan kepada mereka yang memiliki aset sekurang-kurangnya AS$1 juta, atau kira-kira RM4.2 juta mengikut kadar pertukaran semasa.

Menurutnya, terdapat 85,126 jutawan direkodkan di Malaysia pada tahun 2022, dan jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun.

“Dan (jumlah) ini akan bertambah setahun demi setahun. Dijangka jumlah jutawan ini pada 2027 akan mencapai seramai 164,839 orang.

“Jadi sudah sampailah masanya golongan kaya ini kita kenakan cukai iaitu cukai kekayaan atau capital tax,” katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan cukai keuntungan modal pada tahun 2024. Namun ia dalam bentuk terhad, iaitu hanya dikenakan ke atas penjualan saham tidak tersenarai oleh syarikat.

Selain itu, turut pernah menimbangkan untuk memperkenalkan cukai barangan bernilai tinggi bagi produk seperti barang kemas dan jam tangan mewah, namun semua idea itu akhirnya dibatalkan dan sebaliknya memasukkannya ke dalam cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang disemak semula.



Source link