Malaysia Oversight

Tiga anggota polis disiasat kes peras ugut, cabul pelajar masih bertugas

By MkiniBM in October 28, 2025 – Reading time 2 minute
Tiga anggota polis disiasat kes peras ugut, cabul pelajar masih bertugas


Tiga anggota polis yang dituduh memeras ugut dan mencabul seorang pelajar berusia 18 tahun masih bertugas sementara pihak berkuasa meneliti kemungkinan pendakwaan terhadap mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata kertas siasatan telah siap dan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan tatatertib ke atas anggota polis yang terlibat dijalankan selari dgn siasatan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Anggota yang terlibat masih lagi bertugas tetapi tidak melibatkan tugasan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang daripada tiga anggota itu dijangka didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan, manakala ketiga-tiganya dicadangkan untuk didakwa di bawah Seksyen 384 atas kesalahan pemerasan. 

Selain prosiding jenayah, mereka juga akan berdepan tindakan tatatertib polis.

Mereka ditahan pada 18 September lalu atas dakwaan memeras ugut dan memaksa pelajar itu secara seksual.

Menurut laporan New Straits Times, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata ketiga-tiga lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 354 dan 384 Kanun Keseksaan.

Kejadian didakwa berlaku di Sentul, Kuala Lumpur sekitar jam satu pagi pada 17 September lalu, apabila pelajar terbabit dan teman lelakinya ditahan oleh pegawai berkenaan. 

Mereka didakwa merampas kad pengenalan dan telefon  pasangan itu sebelum seorang anggota mengugut mangsa untuk memenjarakannya selepas menemui gambar peribadi dalam telefon teman lelakinya.

Anggota tersebut didakwa menuntut RM10,000 atau perlakuan seksual untuk “menyelesaikan” perkara itu, mencabul mangsa semasa kejadian, serta mengugut untuk mencederakan mangsa atau teman lelakinya jika dia membuat laporan.

New Straits Times turut melaporkan yang pengadu mendakwa anggota berkenaan meminta nombor telefonnya menggunakan nama samaran dan mengarahkannya supaya tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa, sambil mengugut akan ke asrama atau rumahnya jika dia ingkar.

Mangsa turut mendakwa anggota itu mengambil MyKad miliknya, menuntut maklumat peribadinya, serta menjanjikan wang dan sebuah sebagai balasan untuk hubungan seksual berterusan dengannya.

Polis di sekolah

Kes itu di saat sedang menimbang untuk menugaskan polis di sekolah susulan peningkatan kes keganasan.

Pada 17 Oktober lalu, jurucakap Fadzil berkata kabinet telah membincangkan cadangan tersebut.

“Langkah ini bertujuan memastikan kehadiran polis di sekolah berfungsi sebagai isyarat bahawa sekolah-sekolah kita adalah tempat yang selamat,” katanya.

Pada 23 Oktober lalu, Berita Harian melaporkan polis telah mula menjalankan pemeriksaan mengejut di sekolah, termasuk memeriksa telefon pelajar bagi mencari bahan larangan atau pornografi.



Source link