AMD Dijangka Mengumumkan Dua Lagi CPU Ryzen X3D Pada Awal Tahun Hadapan
Nazrin
Secara teknikalnya, AMD telahpun beralih kepada siri cip pemprosesan AMD ZEN 5 yang terdiri daripada siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000, tetapi baru-baru ini beberapa laporan telah diperlihatkan bahawa mereka akan melancarkan dua lagi CPU baru dibawah model Ryzen X3D.
Dua CPU ini adalah AMD Ryzen 9 9950 X3D2 dan juga AMD Ryzen 5 7500X3D yang merupakan CPU yang memperlihatkan fokus terhadap gaming. Satu boleh dilihat sebagai CPU gaming paling berkuasa di pasaran kelak, dan satu lagi adalah CPU gaming yang samada akan hadir dengan harga mampu milik.

Bermula dengan AMD Ryzen 9 9950 X3D2, cip pemprosesan ini hadir dengan spesifikasi yang hampir menyerupai AMD Ryzen 9 9950 X3D, termasuklah 16 teras fizikal, 32 bebenang kuasa dan kelajuan asas 3.4GHz. Kelajuan Boost Clock cip pemprosesan ini dikatakan adalah pada 5.6GHz, 100MHz lebih rendah berbanding dengan 5.7GHz pada cip sebelumnya, tetapi akan hadir dengan 192MB L3 cache, jauh lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan pada model 9950 X3D, iaitu 128MB.
Jumlah TDP ataupun penggunaan tenaga elektrik cip pemprosesan ini juga dilaporkan akan meningkat dari 170W ke 200W. Ini bukanlah satu peningkatan yang besar untuk CPU sebegini, tetapi ia dijangka akan membantu dalam meningkatkan prestasi dalam pelbagai jenis aplikasi produktiviti dan bukan sahaja gaming.
Beralih kepada AMD Ryzen 5 7500 X3D pula, cip pemprosesan ini hadir dengan 6 teras fizikal dan 12 bebenang kuasa menggunakan teras cip ZEN 4 generasi lepas dan dijangka hadir dengan 96MB L3 cache dan nilai TDP 65W. Ini dijangka menjadikan cip pemprosesan ini sesuai untuk membina komputer gaming desktop bersaiz kecil ataupun komputer ruang tamu.
Tidak banyak butiran rasmi yang diketahui buat masa ini tentang CPU-CPU ini, tetapi jangkaan banyak laporan dan peniris maklumat ialah AMD dijangka akan memperkenalkannya tidak lama lagi, tetapi hanya akan dijual pada suku pertama 2026 kelak.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






