Malaysia Oversight

Pecutan Pertama Proton e.MAS 5 – EV Kelas Permulaan Yang Banyak Nilainya

By Amanz in October 28, 2025 – Reading time 3 minute
Pecutan Pertama Proton e.MAS 5 – EV Kelas Permulaan Yang Banyak Nilainya


Pecutan Pertama Proton e.MAS 5 – EV Kelas Permulaan Yang Banyak Nilainya

October 28, 2025
Automotif

Ikhwan Nazri

Setelah hampir dua bulan Proton e.MAS 5 melakukan jelajah seluruh negara dalam mempromosikan kereta elektrik kedua dari Proton, akhirnya ia akan dilancarkan pada 30 Oktober ini dan kami telah diberi peluang untuk memandu antara versi akhir kereta elektrik ini sebelum menemui pasaran minggu ini. 

Proton eMAS 5 Amanz Day 1 Proton E mas test drive 248

Proton e.MAS 5 akan hadir dengan dua versi iaitu Prime dan Premium, dibezakan oleh saiz bateri dan juga kekuasaan motor elektriknya. Versi yang dipandu uji ini adalah versi Premium, yang dilengkapi dengan motor elektrik pacuan belakang yang memberikan kuasa maksimum 85kW (~113 HP) dan tork 150 Nm dengan pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat dan kelajuan maksimum 135 km/j. Dengan kapasiti bateri sebesar 40 kWh LFP, ia memberikan jarak perjalanan sejauh 325 km.

Proton eMAS 5 Amanz IMG 0783

Dari percubaan saya di Litar Ujian Proton Shah Alam, pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat dapat disempurnakan dengan mudah, membolehkan saya menaiki cerun selekoh pertama dengan tiada masalah. Boleh dikatakan pada kebanyakan masa saya di litar ujian juga dapat memandu sekitar kelajuan 90-120 km/j. Walaupun pecutan 0-50 km/j bukanlah sesuatu yang menjadi kekuatan utama kereta ini, namun ia juga masih menjadi satu ciri yang selalu ditekankan dalam pembelian kereta elektrik dan bagi saya ia menepati kumpulan sasaran yang ditujukan sebagai pembeli kereta ini. 

Dari segi NVH (Noise-vibration-harshness) pada kelajuan tinggi, bagi saya ia berkadaran dan tidaklah terlalu ketara, lebih-lebih lagi walaupun terdapat jalan yang tidak begitu rata pada beberapa sudut di litar ini. Bunyi angin menderu hanya mula kedengaran apabila anda benar-benar laju, namun ia bukanlah bunyi yang terlalu kuat dan sebagai kereta elektrik, anda sudahpun tidak mendengar sebarang bunyi enjin jadi pada kelajuan yang tinggi, pada saya bunyi angin yang terhasil adalah memadai. 

Proton eMAS 5 Amanz Day 2 Proton E mas test drive 429

Untuk ujian slalom, bentuk 8 dan juga laluan berhalangan, kawalan yang diberikan, saya masih mampu bergerak dengan pantas dan sewaktu pusingan 8, boleh dirasakan betapa bezanya Proton e.MAS 5 dengan pacuan belakang. Anda dapat membelok dengan lebih tajam namun pada masa yang sama perlu benar-benar mengawal pusingan dan kelajuan, malah mempunyai jarak pusingan-U kurang dari 5 meter, memudahkan anda untuk melakukan pusingan-U.

Proton eMAS 5 Amanz IMG 0774

Dengan ujian di litar ini saya rasakan ciri-ciri yang ada pada Proton e.MAS 5 mencukupi untuk tujuannya sebagai satu kereta elektrik jarak dekat, dengan jarak perjalanan yang lebih disasarkan untuk penggunaan di bandar. Bukanlah bermaksud anda tidak dapat membawanya pulang ke kampung, akan tetapi anda perlu mengecasnya dengan lebih kerap, mengikut gaya pemanduan anda. Untuk jarak seperti Ipoh atau Melaka, anda mungkin perlukan sekali pengecasan, namun untuk destinasi seperti Perlis, Changlun, Kota Bharu mahupun Desaru, anda berkemungkinan perlu mengecas dua kali. Ia dilengkapi dengan pengecasan pantas sehingga 71 kW untuk versi Premium, dan kesemua model Proton e.MAS 5 turut mempunyai kelajuan pengecasan 30-80% sepantas 21 minit. 

Proton eMAS 5 Amanz IMG 0788

Dengan pandang pertama dan pecutan pertama Proton e.MAS 5 yang telahpun dikongsikan, mungkin apa yang perlu kita nantikan adalah harganya yang bakal diumumkan pada 30 Oktober ini, dan juga ujian perjalanan jauh. Pada harga sekitar RM 60K- 80K, Proton e.MAS 5 pastinya dapat memenuhi citarasa pengguna yang inginkan kereta elektrik untuk kegunaan bandar, ditambah lagi dengan ciri-ciri yang menambah nilainya seperti ruangan storan hadapan frunk, but belakang yang boleh dibuka secara automatik, pelbagai ruangan storan di ruang dalaman dan paling penting adalah ia juga kereta elektrik untuk kelas permulaan pada harga mampu milik.

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link