Perjanjian dagangan baru yang dimeterai di antara Kuala Lumpur dan Washington mencetuskan perdebatan sama ada ia boleh menegangkan hubungan ekonomi jangka panjang Malaysia dengan China atau sebaliknya susulan usaha AS untuk mendapatkan syarat dagangan “timbal balik” yang kini melatari rantau ini.
Isu utama yang menimbulkan kebimbangan ialah perkara 5.1 dalam perjanjian tersebut, yang mewajibkan Malaysia mengambil “tindakan pelengkap” apabila AS mengenakan sekatan terhadap negara ketiga — yang secara meluas dianggap merujuk kepada China – memandangkan aktiviti ekonominya pernah disasarkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Klausa itu menyatakan bahawa jika AS mengenakan tarif, kuota, larangan, atau langkah perdagangan lain terhadap mana-mana negara bagi melindungi ekonomi dan keselamatan nasionalnya, Malaysia mesti mengambil tindakan yang sama atau bersetuju dengan satu tempoh masa untuk berbuat demikian.
Putrajaya juga dijangka mengambil tindakan terhadap syarikat milik atau dikawal oleh negara lain yang beroperasi di Malaysia tetapi mengeksport barangan ke AS pada harga di bawah pasaran, atau yang tindakannya menjejaskan eksport AS.
Namun, para ahli ekonomi berhujah bahawa, walaupun Malaysia masih boleh mengekalkan keseimbangan ekonominya antara Washington dan Beijing, usaha tersebut kini memerlukan kebijaksanaan diplomatik dan peraturan yang lebih halus.
Pensyarah jemputan Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman, berkata walaupun perkara 5.1 itu tidak harus difahami sebagai penjajaran automatik terhadap sekatan AS ke atas negara lain, klausa itu tetap mewujudkan andaian bahawa Malaysia menyokong tindakan Washington.
Katanya perenggan dalam klausa itu — terutamanya yang “mengikut undang-undang dan peraturan domestik” serta “dalam tempoh masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak” — memberi Malaysia ruang undang-undang dan diplomatik untuk mengelakkan tindakan berimpak tinggi sambil tetap menunjukkan kerjasama dengan AS.

“Malaysia mesti berunding dan mempertimbangkan tindak balas yang setara, tetapi ia boleh dilakukan melalui undang-undang sendiri, dengan garis masa sendiri, dan menggunakan instrumen sendiri. Jadi, ia bukan sekatan automatik,” katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Samirul Ariff, jika isu berkenaan diurus dengan berhati-hati, ia dapat memperkukuh kredibiliti Malaysia di mata AS tanpa mencetuskan pertembungan langsung dengan China.
“Kuncinya ialah membingkai langkah ini sebagai penguatkuasaan berasaskan peraturan, bukan hukuman politik,” katanya.
Dia turut menyatakan bahawa “fleksibiliti” yang terkandung dalam klausa itu membolehkan Malaysia menunjukkan keselarasan tanpa kelihatan memilih pihak.
Mungkin sukar dikuat kuasa
Katanya Malaysia boleh menggunakan alat pemulihan perdagangan seperti penguatkuasaan kastam yang lebih ketat, duti khusus produk, atau peraturan perolehan kerajaan untuk menunjukkan pematuhan tanpa meniru sepenuhnya sekatan AS.
Namun, Samirul Ariff — yang juga perunding kanan di Global Asia Consulting — memberi amaran bahawa klausa tersebut akan menjadikan keseimbangan Malaysia semakin sukar dari masa ke masa, khususnya jika Washington memperluaskan sekatan terhadap industri China.
“Kita masih dalam fasa kepelbagaian, bukan penjajaran, tetapi terdapat kecenderungan AS yang lebih kuat dalam bidang sensitif seperti teknologi dan daya tahan rantaian bekalan.
“Cabaran bagi Putrajaya ialah mengurus persepsi — bagaimana meyakinkan Beijing bahawa kerjasama dengan AS bukan langkah pengawalan, dan melakukannya pada kadar yang tidak menimbulkan kebimbangan di kedua-dua pihak,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education, Carmelo Ferlito, berkata klausa mengenai tindakan pelengkap itu boleh difahami berdasarkan pengalaman lalu apabila Malaysia digunakan sebagai “hab pelabelan semula” bagi barangan China yang dieksport semula ke AS semasa perang dagang pertama.
Walaupun berpendapat perkara 5.1 bermaksud AS kini meminta Malaysia supaya tidak terlibat dalam “permainan sedemikian”, Ferlito memberi amaran bahawa langkah itu mungkin sukar untuk dikuatkuasakan.
“Saya berharap ketegangan semasa ini dapat menunjukkan betapa buruknya kesan dasar perlindungan terhadap semua pihak, dan kita akan kembali untuk mengamalkan perdagangan bebas yang sebenar — yang juga perdagangan adil — sesuatu yang sering dilupakan oleh China,” katanya.

Dia turut bersetuju yang perjanjian tersebut tidak menunjukkan perubahan strategik menjauhi China, sebaliknya mencerminkan usaha Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagangan di tengah perubahan realiti perdagangan global.
Katanya model ekonomi China terbeban dengan perancangan pusat dan hutang swasta yang tinggi sedang menghadapi percanggahan dalaman, justeru wajar bagi Malaysia melindungi dirinya dan berbaik dengan pelbagai pihak.
Ferlito menegaskan bahawa perjanjian itu turut menandakan keuntungan strategik bagi Washington apabila Trump berjaya mendekatkan Asia Tenggara kepada AS dan mempertegas peranan utama mereka di rantau ini.
Asia Tenggara, katanya, harus menggunakan perkongsian yang ada untuk menarik pelaburan dan kepakaran Barat, bukannya mengharapkan AS untuk menghidupkan semula sektor pembuatan berskala besar di negaranya sendiri.
“Penting untuk menyedari bahawa AS memenangi pertarungan penting dari perspektif perdagangan, tetapi tidak realistik untuk percaya bahawa mereka boleh sekali lagi menjadi hab pembuatan utama. Sejarah telah bergerak ke arah lain,” katanya.
Ada sedikit ruang
Sementara itu, pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy, Geoffrey Williams memberikan penilaian yang lebih berhati-hati apabila menyifatkan perjanjian itu sebagai “langkah mengehadkan kerosakan” dan bukannya tanda penjajaran ekonomi yang lebih rapat dengan Washington.
Katanya perjanjian perdagangan itu hanyalah memformaliti rundingan selepas Washington mengumumkan kadar tarif yang dikenakan AS ke atas barangan import pada 2 April lalu – dan dikenali sebagai Liberation Day.
“Tidak ada kecenderungan khusus ke arah AS atau pemisahan daripada China — ia lebih kepada langkah mengehadkan kerosakan,” katanya kepada Malaysiakini.
Malaysia pada awalnya dikenakan tarif sebanyak 24 peratus sebelum berubah kepada 19 peratus hasil rundingan lanjut, manakala beberapa eksport termasuk semikonduktor kekal dikecualikan.

Williams menjelaskan pengecualian itu — bernilai kira-kira RM21.9 bilion, atau sekitar 11 peratus daripada jumlah nilai eksport Malaysia ke AS pada 2024 — menyebabkan baki 89 peratus masih tertakluk kepada tarif timbal balik sebanyak 19 peratus.
“Sebelum Liberation Day, kebanyakan eksport Malaysia ke AS bebas tarif, dan kini hampir 90 peratus mengikut nilai dikenakan tarif. Ini kesan yang besar dan buruk,” katanya.
Dia juga menjelaskan Malaysia mempunyai sedikit ruang untuk menarik pelaburan asing tambahan dari AS kerana keputusan pelaburan dibuat oleh sektor swasta, bukan kerajaan.
Walaupun beberapa peluang kecil mungkin muncul — terutamanya dalam sektor logam nadir dan semikonduktor — Williams menekankan bahawa kebanyakan komitmen dalam perjanjian berkenaan hanya memformalkan rancangan sedia ada, seperti pembelian pesawat buatan AS, sambil mengurangkan fleksibiliti Malaysia jika berlaku kelewatan bekalan.
Dia turut memberi amaran bahawa konsesi yang diberikan seolah-olah datang dengan kos ke atas autonomi dasar Malaysia, merujuk kepada kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, bahawa kerajaan berpuas hati dengan perjanjian tersebut dan tidak perlu berpatah balik daripada perjanjian sebelumnya.
“Kenyataan (Zafrul) bahawa Malaysia tidak berpatah balik daripada pendirian terdahulu nampaknya bermaksud AS menghormati hak Malaysia untuk mengenakan sekatan perdagangan dan halangan bukan tarif dalam beberapa bidang — tanpa benar-benar menjelaskan bidang mana,” katanya.
[Baca berita penuh]






