Malaysia Oversight

Diari Joseph Goebbels: Sisi gelap propaganda Hitler

By MkiniBM in October 28, 2025 – Reading time 6 minute
Diari Joseph Goebbels: Sisi gelap propaganda Hitler


Pada 1 Mei 1945, di dalam taman kecil berhampiran bunker Führer di Berlin, Jerman, sepasang suami isteri mengambil keputusan mengakhiri hidup mereka dengan cara yang tragis.

Mereka bukan pasangan biasa. Si suami, Joseph Goebbels merupakan menteri propaganda Nazi bersama isterinya Magda Goebbels bertindak meracun enam anak mereka sendiri. Pasangan itu kemudian membunuh diri di bunker Führer, sehari selepas pemimpin Nazi Adolf Hitler melakukan tindakan sama manakala isterinya Eva Braun mengakhiri nyawanya dengan menelan racun sianida.

Goebbels benar-benar setia kepada Hitler hingga ke akhir hayat. Ketika itu tentera Soviet telah memasuki Berlin dan Perang Dunia Kedua hampir ke penghujungnya.

5cbe678ca2308a9020dfd8d8bb822cb2
Adolf Hitler

Tindakan tragik itu menggambarkan betapa doktrin dan kesetiaan kepada ideologi boleh mengatasi naluri keibubapaan sekalipun. Sejarah mencatat bahawa Goebbels hanya menjadi Canselor Jerman selama satu hari dan simbolik kepada betapa seluruh kerjayanya dibina bukan untuk memimpin, tetapi mengekalkan ilusi kuasa orang lain.

Dunia menyaksikan bukan hanya kehancuran rejim Nazi, tetapi juga klimaks tragedi manusia yang percaya bahawa persepsi lebih penting berbanding kebenaran.

Siapakah Joseph Goebbels? Beliau mungkin tidak sepopular Adolf Hitler tetapi kedudukan dan peranannya dalam rejim Nazi tidak kurang hebat. Jika Hitler ialah tangan yang menandatangani hukuman, Goebbels pula adalah lidah yang menjadikan kekejaman kelihatan mulia.

Beliau bukan sekadar menteri propaganda malah merupakan pencipta dunia fiksyen yang dipercayai berjuta-juta rakyat Jerman. Goebbels mencipta dunia yang dibina atas mitos, ditampal dengan kebencian dan disambung dengan pengulangan.

Dalam sejarah politik moden, tiada tokoh yang lebih berbahaya dalam mengawal naratif berbanding Goebbels. Beliau bukan sekadar penyebar maklumat. Beliau juga adalah arkitek ilusi yang menjadikan bangsa Jerman percaya bahawa pemusnahan satu kaum adalah tindakan mulia. Apa yang lebih menakutkan lagi, prinsip dan taktiknya masih digunakan dalam demokrasi moden dalam bentuk yang lebih licik.

Walaupun Goebbels dan Hitler telah lama mati, strategi mereka tidak berkubur. Hari ini, dalam era digital, strategi propaganda Goebbels masih hidup semula dalam pelbagai wajah, dari politik identiti hingga manipulasi media sosial.

Dilahirkan pada 29 Oktober 1897 di Rheydt, Jerman, Goebbels pernah dicita-citakan menjadi paderi. Namun, beliau mengubah pendirian selepas menerima biasiswa dari Alberts Magnus Society dan berjaya mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang filologi Jerman dari Universiti Heidelberg.

Kaki tempang

Beliau dikecualikan dari menyertai tentera akibat kecacatan kakinya yang kekal berpunca dari osteomyelitis yang menyebabkan kaki kanannya tempang. Namun, keadaan itu tidak menghalang cita-citanya dalam politik.

Setelah menyertai Parti Nazi pada 1924, sebagai kesinambungan perjuangan semasa di universiti terhadap kelebihan bangsa Jerman dan anti-Semitik. Jerman ketika itu dilanda inflasi yang merosakkan ekonomi manakala moral rakyatnya berada pada tahap terendah selepas Jerman kalah dalam Perang Dunia Pertama. Mereka percaya imej dan perkataan berpotensi sebagai alat untuk mengeksploitasi rasa ketidakpuasan hati mereka.

9850f3e8eca79c2c20094032e7dac390
Demo Neo-Nazi di Amerika, gambar hiasan

Goebbels tertarik kepada pidato Hitler yang memukau dan retorik ekstremnya. Sejak itu, kesetiaannya kepada Hitler tidak pernah goyah, bahkan menjadi mutlak. Hitler melihat potensi luar biasa dalam keupayaan komunikasi Goebbels, lalu melantiknya sebagai ketua propaganda Parti Nazi untuk Berlin pada 1926.

Goebbels menjadikan kota kosmopolitan itu sebagai medan eksperimen propaganda untuk menanam rasa takut terhadap komunis, Yahudi, intelektual dan wartawan bebas. Beliau menguasai emosi massa dengan satu strategi mudah: ulang, mudahkan dan takutkan.

Apabila Hitler naik menjadi Canselor Jerman pada 1933, Goebbels diberi kuasa penuh sebagai Menteri Propaganda Reich. Dalam kedudukan itu, beliau membina sistem kawalan maklumat paling berkesan dalam sejarah moden.

Beliau membahagikan kementeriannya kepada tujuh unit iaitu pentadbiran dan undang-undang, isu membabitkan perhimpunan awam bangsa, kesihatan dan orang muda, radio, media asing, filem, seni dan perlindungan dari propaganda asing.

Kesemua media termasuk radio, surat khabar, filem, teater, muzik dan seni disatukan di bawah kementeriannya. Goebbels bukan sahaja mengurus media malah menapis, mengarah dan membentuk naratif tunggal yang memuliakan Hitler serta menormalisasi kezaliman.

Beliau mengeluarkan arahan memboikot mana-mana perniagaan yang dimiliki orang Yahudi dan membakar buku-buku yang tidak memihak kepada Jerman. Goebbels juga menubuhkan Dewan Kebudayaan Reich. Beliau bertindak sebagai pengarah organisasi tersebut.

Tujuan penubuhannya ialah untuk mengawal setiap aspek kesenian di Jerman. Semua elemen seni moden akan diganti dengan karya yang berbau Jerman. Bagi mengekang dan menapis media, satu rang undang-undang diluluskan bagi memberi kuasa kepada mendiskriminasi editor Yahudi yang menolak fahaman Nazi.

Goebbels kemudian melancarkan kempen besar-besaran untuk menaikkan imej Hitler sebagai pemimpin suci, penyelamat bangsa Aryan. Gambar, lagu, filem dan slogan semuanya diselaraskan untuk mencipta mitos kepimpinan.

Pupuk kebencian pada musuh

Pada masa sama, beliau memupuk kebencian terhadap musuh terpilih seperti Yahudi dan komunis yang digambarkan sebagai ancaman terhadap ketulenan bangsa Jerman. Goebbels memahami keperluan mencipta musuh rekaan dalam membentuk perpaduan. Di sinilah propaganda memainkan peranan terpenting: bukan memberi maklumat, tetapi membentuk realiti.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Goebbels ditugaskan membentuk propaganda yang meyakinkan orang ramai sebab Jerman perlu kembali berperang. Antara projek pertama yang dijalankan ialah penerbitan filem propaganda The Eternal Jew (1940) yang dikatakan memaparkan sejarah orang Yahudi tapi secara tersirat memperlihatkan mereka sebagai parasit yang merosakkan sebuah dunia yang sempurna.

Goebbels bertanggungjawab memastikan semua naratif awam menyokong rejim, memotong akar keraguan rakyat dan memadam suara alternatif.

Beliau turut mengeksploitasi filem untuk menyampaikan ideologi melalui seni dengan menjadikan pidato Hitler sebagai peristiwa nasional dan menyusun peristiwa politik agar berpadanan dengan kehendak propaganda.

Dalam tempoh yang singkat, Goebbels berjaya meraih sokongan rakyat Jerman menerusi gerak kerja propaganda yang tersusun.

Namun, suatu yang mengerikan terbongkar apabila tentera Amerika menemui diari peribadi Goebbels selepas kejatuhan Berlin. Diari tersebut dan kemudian diterjemah oleh wartawan Louis Lochner pada tahun 1948 dan dibukukan sebagai The Goebbels Diaries yang memperlihatkan betapa segala kebejatan Nazi dirancang dengan ketelitian saintifik.

Goebbels bukan seorang gila yang mengikut emosi, tetapi seorang birokrat propaganda yang menganalisis kesan kata-kata dan masa penyebarannya seperti seorang jurutera sosial.

Daripada catatan harian ini, ahli akademik Leonard W. Doob menyusun 19 prinsip propaganda Goebbels. Ia merangkumi prinsip seperti “pengulangan mesej untuk mencipta kepercayaan”, “musuh perlu sentiasa dikenal pasti dan ditonjolkan”, “kredibiliti lebih penting daripada kebenaran” dan “propaganda mesti disampaikan segera selepas peristiwa berlaku”.

Prinsip-prinsip ini bukan sahaja digunakan dalam Perang Dunia Kedua malah hari ini, ia menjadi asas teknik komunikasi politik di seluruh dunia.

Tema utama daripada prinsip ini ialah bahawa propaganda bukan tentang fakta tetapi tentang emosi. Ia menekankan bahawa kebenaran boleh ditangguhkan jika persepsi awam dapat dikawal.

Propaganda juga menekankan bahawa musuh mesti diwujudkan dan diulang-ulang dalam naratif negara, agar rakyat terus berada dalam keadaan takut dan bersatu di bawah seorang ‘penyelamat’. Goebbels menunjukkan bagaimana propaganda dapat menjadi senjata yang lebih kuat daripada peluru kerana ia bermula dari naratif yang ditanam di minda.

Propagandanya masih hidup

Kisah Goebbels tidak berakhir di Berlin. Sebaliknya prinsip-prinsip propaganda yang digunakannya masih hidup dalam kempen politik hari ini yang memanipulasi sentimen kaum dan agama, dalam media yang berat sebelah, pengaruh media sosial yang tidak terkawal dan penciptaan musuh palsu demi kelangsungan kuasa.

Demokrasi kini tidak lagi dimusnahkan dengan kereta kebal tetapi dengan naratif yang dikawal, suara yang disenyapkan dan berita yang dimanipulasi.

Goebbels pernah berkata bahawa “propaganda boleh dipermudahkan oleh pemimpin yang berprestij”. Ironinya, kisah beliau dan Hitler, terdapat banyak sisi hitam kemanusiaan. Demokrasi moden masih mencela diktator-diktator lama terhadap amalan propaganda mereka. Sedangkan secara praktis, pada hari ini teknik dan prinsipnya masih sama, hanya kulitnya yang berubah.

Kisah Goebbels seharusnya menjadi peringatan bahawa kuasa kata-kata dan kawalan maklumat mampu menghancurkan tamadun. Apabila rakyat berhenti bertanya dan hanya menerima, mereka sedang membuka pintu kepada kehancuran yang secara perlahan tetapi pasti.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link