Seorang juruteknik penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan meliwat anak tiri perempuannya di balkoni rumah mereka pada bulan lalu.
Lelaki berusia 40 tahun itu didakwa – sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu ayah tiri kepada kanak-kanak tersebut – melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 9 tahun 10 bulan sewaktu kejadian, tanpa kerelaan.
Kejadian itu didakwa berlaku di balkoni sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur pada jam 2 pagi 8 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya Faizah Khalilah Zaberi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mengambil kira faktor dia merupakan ayah tiri mangsa, dan mungkin mengganggu kanak-kanak terbabit serta saksi lain jika dibenarkan diikat jamin.
“Kes ini merupakan kesalahan berat melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tertuduh serta ibu mangsa masih suami isteri yang sah.
“Terdapat kemungkinan dia akan mengganggu mangsa. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini,” katanya.
Peguam Charanpal Singh mewakili tertuduh memohon anak guamnya yang merupakan penanggung utama keluarga dibenarkan ikat jamin atas alasan dia perlu menghantar empat lagi anaknya – yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun – ke sekolah.
“Anaknya yang berusia tujuh tahun menghidap penyakit jantung dan tertuduh bertanggungjawab menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Pihak kami juga tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menetapkan syarat tambahan lain sekiranya jaminan dibenarkan,” kata peguam itu.
Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.
– Bernama