Qualcomm Mengumumkan Cip AI Pusat Data AI200 dan AI250
Effi Saharudin
Qualcomm mendominasi pasaran cip untuk telefon pintar sebelum mengembangkan sayap menghasilkan cip untuk PC. Semalam mereka mengumumkan pula dua cip, Qualcomm AI200 dan Qualcomm AI250 yang direka khusus untuk tugas inferens di pusat data kecerdasan buatan (AI).

AI200 dilengkapi memori sebesar 768GB LPDDR RAM dengan ia sesuai untuk melalukan latihan model bahasa raya (LLM) dengan sokongan multimodal. Menurut Qualcomm AI200 akan mengurangkan kos pemilikan cip berbanding yang ditawarkan oleh pesaing. Cip AI ini akan dilancarkan pada tahun 2026.
Sementara itu AI250 pula akan memperkenalkan seni bina memori yang bakal menawarkan lebar jalur memori efektif lebih 10x ganda dan penggunaan kuasa lebih rendah. Spesifikasi terperinci AI250 masih lagi belum didedahkan dengan ia akan dilancarkan pada tahun 2027.
Kedua-duanya boleh menggunakan sistem penyejukan cecair, menggunakan 160 kW kuasa dan ditawarkan dalam sistem rak penuh dilengkapi 72 cip yang bertindak sebagai satu komputer. Walaupun cip baru sahaja diumumkan, ia sudahpun disahkan akan digunakan oleh firma Humain, firma AI Arab Saudi yang sebelum ini melancarkan LLM Bahasa Arab terbesar yang memahami setiap sudut budaya Islam dan mereka mengumumkan komputer riba tersendiri menggunakan cip Qualcom bulan lalu.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






