PARLIMEN | Kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi Asean mencerminkan keupayaan negara memperkukuh kerjasama serantau serta hubungan dengan kuasa besar dunia, khususnya dalam sektor ekonomi dan keselamatan.
Ahli parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini berpendapat, Malaysia berjaya menonjolkan naratif diplomasi berprinsip dalam menangani pertikaian serantau, selain mengekalkan pendirian tegas dalam isu Gaza.
Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata keahlian terbaru Timor-Leste sebagai negara ke-11 Asean ketika Malaysia menjadi pengerusi merupakan detik bersejarah yang membuktikan kepimpinan konsisten Anwar Ibrahim selaku perdana menteri dalam memperkukuh kedudukan kesatuan itu sebagai blok ekonomi kelima terbesar dunia.
“Di saat sebahagian besar rakyat dunia menolak globalisasi akibat kesenjangan kekayaan dan pendapatan, aspek regionalisme menjadi semakin penting. Inilah waktu Asean melakar masa depan lebih adil untuk rakyat kita,” katanya.
Dia turut mencadangkan supaya Asean mempertimbangkan kemasukan strategik negara lain seperti Australia dan Bangladesh bagi memperkukuh kerjasama teknologi, pasaran buruh serta menangani isu migrasi.
Pada masa sama Amirudin menegaskan asas utama Asean –iaitu keamanan – tidak boleh dikompromi.

“Tanpa keamanan atau zon keamanan, kita tidak mampu memikir dan merencana pembangunan ekonomi rantau ini. Malaysia harus menjayakan agenda Asean sebagai pusat dunia demi kebaikan dan kejayaan bersama,” katanya sambil menyifatkan Sidang Kemuncak Asean kini menjadi tumpuan dunia hasil dasar kepusatan (centrality) dan berkecuali yang konsisten ditunjukkan Malaysia.
Sementara itu, Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian insentif khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam penganjuran Sidang Kemuncak Asean Ke-47 yang sedang berlangsung di ibu negara.
Katanya sagu hati itu wajar sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen tinggi ribuan petugas dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang bekerja keras memastikan kelancaran persidangan berprestij itu sekali gus menjaga nama baik Malaysia selaku pengerusi.
“Ia akan memberi motivasi dan kegembiraan kepada segenap lapisan perkhidmatan awam, bukan sahaja guru, tetapi juga anggota tentera, polis, petugas kesihatan, pemandu, pembantu pejabat serta warga Wisma Putra termasuk pegawai kontrak,” katanya.

Penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47 turut mendapat perhatian ahli parlimen lain termasuk Azli Yusof (PH-Shah Alam) dan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang menegaskan rakyat Malaysia wajar berbangga menjadi tuan rumah kepada perhimpunan besar pemimpin dunia bagi membincangkan isu hubungan dua hala, perdagangan antarabangsa, keselamatan maritim dan keamanan serantau.
Shamshulkahar berkata menerusi sidang kemuncak itu, Malaysia membuktikan peranannya di peringkat antarabangsa apabila bertindak sebagai pendamai di antara Thailand dan Kemboja sehingga termeterai Perjanjian Damai KL semalam.
Ia disaksikan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Selain itu, Shamsulkahar merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan pasukan ekspedisi Sumud Flotilla yang berani menggalas misi pelayaran kemanusiaan ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.
“Jempol turut menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri dan menteri luar atas kecekapan serta kemahiran mereka menggunakan hubungan baik serta saluran diplomasi bagi memastikan semua peserta ekspedisi itu dibawa keluar dari Israel dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan menandatangani perjanjian menaik taraf hubungan dua hala ke arah perkongsian strategik komprehensif bersama AS.
Katanya langkah itu membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk kembali muncul sebagai ‘Harimau Asia’, khususnya dalam aspek ekonomi dan kemajuan negara.
Persidangan bersambung esok.
– Bernama






