Malaysia Oversight

Video tarian Trump raih lebih 21.5 juta tontonan

By MkiniBM in October 27, 2025 – Reading time 2 minute
Video tarian Trump raih lebih 21.5 juta tontonan


Video yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald menari semasa lawatan beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah tular menerusi media sosial, menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.

Penasihat Alex Bruesewitz menyifatkan video itu mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga meningkatkan populariti dalam media sosial.

“Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok.

“Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X hari ini.

Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin yang menyiarkan semula hantaran Bruesewitz berkata klip itu menunjukkan Trump berinteraksi mesra dengan delegasi dan turut menari mengikut rentak muzik tempatan.

“Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump, dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya.

Video berkenaan juga menerima pelbagai reaksi daripada pengguna X seperti @KarlDHarrison yang meninggalkan komen, “Realitinya ialah Trump menyayangi rakyat dan ia jelas kelihatan. Mereka juga menyayanginya”.

b5e4613477b14e208cf8a16cf2d7a06f

Sementara itu, @kellyannelu menyifatkan Trump seorang yang baik hati, dan klip video itu mencerminkan sikap mesra dan mudah didekati beliau.

“Beliau banyak mengembara, tetapi masih mempunyai tenaga untuk berhenti seketika dan menari dengan gembira. Perkara ini membuatkan saya tersenyum,” katanya.

Presiden AS itu tiba di Kuala Lumpur kira-kira 10 pagi semalam dan berlepas pada 10.06 pagi tadi, menandakan tamatnya lawatan julung-julung kali beliau ke Malaysia dan penyertaan pertama dalam Sidang Kemuncak Asean sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas.

Trump merupakan Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.

d9303b2a3b69cc0099908f5149a7d793

Malaysia memegang tampuk kepengerusian Asean tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga esok.

– Bernama



Source link