Bekas menteri perdagangan Azmin Ali memberi amaran bahawa perjanjian dagangan baharu Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengancam hubungan negara dengan China — rakan dagangan terbesar Malaysia yang menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.
Walaupun perjanjian itu membantu menjamin hubungan dagangan Malaysia dengan AS dan mengelak tarif timbal balik yang lebih tinggi, Azmin menegaskan satu klausa dalam perjanjian tersebut boleh memaksa Putrajaya menyebelahi Washington terhadap musuh ekonominya.

“Salah satu klausa paling merugikan ialah Artikel 5.1, yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan atau larangan dagangan AS terhadap negara lain.
“Jika Washington memutuskan untuk menyekat import dari China atau Rusia, Malaysia mesti berbuat perkara sama — walaupun tindakan itu menjejaskan ekonomi kita. Klausa ini memaksa Malaysia terlibat dalam konflik orang lain dan menghancurkan dasar berkecuali yang selama ini menjadi kekuatan kita.
“Dengan menyelaraskan dasar Malaysia kepada keputusan AS, perjanjian ini berisiko menakutkan pelabur yang menghargai peranan Malaysia sebagai rakan dagangan neutral dan stabil di rantau ini,” kata setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu dalam satu kenyataan hari ini.
Artikel 5.1 menetapkan bahawa jika AS mengenakan tarif, kuota, larangan, atau sekatan dagangan terhadap mana-mana negara atas alasan keselamatan ekonomi dan nasionalnya — Malaysia mesti mengambil langkah serupa atau bersetuju dengan garis masa untuk melaksanakannya.

Putrajaya juga dijangka perlu bertindak terhadap syarikat milik atau dikawal oleh negara lain yang beroperasi di Malaysia, sekiranya syarikat tersebut mengeksport barangan ke AS di bawah harga pasaran atau menjejaskan eksport AS.
Peruntukan Artikel 5.1 dilihat mensasarkan China — negara yang didakwa Presiden AS Donald Trump, telah merosakkan ekonomi negaranya.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484 bilion, dengan RM187.67 bilion daripadanya terdiri daripada eksport Malaysia.
Pematuhan dagangan secara paksa di bawah perjanjian Malaysia-AS itu hanyalah salah satu komitmen yang perlu ditanggung Malaysia. Ia turut melibatkan kebenaran tanpa sekatan bagi eksport nadir bumi ke AS.

Sebagai balasan, tarif timbal balik daripada AS dikekalkan pada kadar 19 peratus, manakala beberapa jenis eksport termasuk semikonduktor dikecualikan daripada cukai tersebut.
AS menjadi pasaran eksport terbesar Malaysia pada 2024, dengan nilai keseluruhan RM198.65 bilion. Daripada jumlah itu, RM60.6 bilion datang daripada eksport semikonduktor.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata bahawa kerajaan berpuas hati dengan perjanjian itu dan gembira kerana mereka tidak perlu menarik balik perjanjian sebelum ini dan sebaliknya mendapat lebih daripada yang dibincangkan.
Namun, Azmin menilai perjanjian itu sebagai satu bentuk penyerahan yang melepaskan terlalu banyak kawalan Malaysia terhadap ekonominya.

“Perjanjian ini turut menafikan keupayaan Malaysia untuk mengawal selia pasaran sendiri. Ia memaksa agensi kita menerima piawaian Amerika bagi makanan, ubat-ubatan dan kenderaan — malah melemahkan sistem pensijilan halal negara dengan mengiktiraf pensijilan luar,” katanya.
Dia memberi amaran bahawa sebarang manfaat jangka pendek akan hilang ditelan kesan jangka panjang yang lebih parah.
Perjanjian penuh dan lampirannya adalah seperti berikut.






